Dakwaan China guna cip Nvidia di Malaysia tidak jejas projek pusat data - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dakwaan China guna cip Nvidia di Malaysia tidak jejas projek pusat data - MIDF Research

Gambar hiasan dari freepik
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Jun - Projek-projek pusat data di Malaysia tidak akan terjejas walaupun terdapat laporan mendakwa syarikat China menggunakan cip Nvidia di Malaysia untuk latihan model sistem kecerdasan buatan (AI).

 

MIDF Research berkata, pemain industri dan kontraktor masih aktif dengan projek baharu, tanpa tanda-tanda perlahan atau kelewatan dalam projek sedia ada.

 

Antaranya, Gamuda Bhd menjual 157.42 hektar tanah di Port Dickson kepada Pearl Computing, syarikat yang dikaitkan dengan Google dan menerima kontrak bernilai RM1.01 bilion untuk kerja-kerja pusat data.

 

Sunway Construction pula meraih kontrak RM1.16 bilion daripada sebuah syarikat teknologi besar dari Amerika Syarikat (AS).

 

Microsoft juga mengesahkan semula pelaburan sebanyak RM10.5 bilion untuk membina infrastruktur awan dan AI, termasuk pusat data berskala besar di Lembah Klang.

 

"Bukan semua pusat data dibina khas untuk AI. Contohnya, YTL Power menyediakan 100MW tenaga untuk AI di pusat mereka di Kulai, tetapi kebanyakannya ditukar kepada ruang sewaan pelayan kerana permintaan yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian.

 

The Wall Street Journal melaporkan, jurutera dari China pada Mac lalu membawa masuk cakera keras yang mengandungi 80 terabait data ke Malaysia untuk melatih sistem AI menggunakan cip Nvidia. 

 

Tindakan itu dipercayai dibuat kerana sekatan AS terhadap penggunaan cip berteknologi tinggi oleh syarikat China.

 

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan sedang meneliti laporan berkenaan.

 

Menurut MITI, pelayan yang menggunakan cip Nvidia atau cip AI tidak dianggap sebagai barangan kawalan di Malaysia. 

 

Bagaimanapun, kerajaan sedia bekerjasama dengan mana-mana negara untuk memantau eksport barangan sensitif mengikut peraturan masing-masing. - DagangNews.com