KUALA LUMPUR 10 Mac — Cypark Resources Bhd akan meneruskan rancangan peluasan loji sisa kepada tenaga (waste-to-energy, WTE) di Ladang Tanah Merah, Port Dickson selepas memperoleh kelulusan daripada kerajaan.
Dalam satu kenyataan, Cypark memaklumkan perjanjian konsesi tambahan bagi pembangunan Fasa 2 loji WTE tersebut telah dimeterai antara anak syarikatnya, Cypark Smart Technology Sdn Bhd, kerajaan Malaysia serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Pengarah Urusan Kumpulan Cypark, Datuk Ami Morris berkata, perjanjian tersebut merupakan langkah penting dalam memajukan pembangunan Fasa 2 loji berkenaan.
Tambahnya, ia juga mencerminkan kerjasama berterusan antara Cypark dan kerajaan Malaysia dalam memperkukuh infrastruktur pengurusan sisa negara serta memacu agenda tenaga boleh diperbaharui.
“Perjanjian ini menandakan langkah penting dalam meneruskan pembangunan Fasa 2 loji WTE dan mencerminkan kerjasama berterusan antara Cypark dan kerajaan Malaysia bagi memperkukuh infrastruktur pengurusan sisa negara sambil memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Tertakluk kepada rundingan akhir, Cypark menjangkakan pembinaan Fasa 2 loji WTE itu akan memberikan sumbangan positif kepada pendapatan masa depan kumpulan sepanjang tempoh operasinya.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai peluasan tersebut tidak didedahkan.
Ketika ini, loji WTE sedia ada mampu menjana sehingga 15 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui dengan memproses sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari di bawah konsesi selama 25 tahun yang dijadualkan berakhir pada penghujung 2041.
Saham Cypark ditutup turun 4.5 sen atau 7.5% kepada 55.5 sen pada penutupan dagangan hari ini, sekali gus meletakkan nilai pasaran kumpulan itu sekitar RM456.67 juta. - DagangNews.com








