Cukai Pro-Kesihatan & pelaksanaan Akta 852: Dasar kerajaan tidak adil kepada industri Bumiputera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cukai Pro-Kesihatan & pelaksanaan Akta 852: Dasar kerajaan tidak adil kepada industri Bumiputera

DPVM turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan. - Gambar BERNAMA
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 9 Okt - Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) menyokong pelaksanaan Cukai Pro-Kesihatan serta penguatkuasaan Akta 852 sebagai langkah terbaik untuk memastikan industri vape dikawal selia secara bertanggungjawab dan beretika.

 

Sehubungan itu, DPVM menyokong cadangan kerajaan untuk meluaskan pelaksanaan Cukai Pro-Kesihatan termasuk terhadap produk vape, tanpa perlu mengambil pendekatan pengharaman menyeluruh.

 

Bagaimanapun, DPVM mengingatkan agar kadar cukai tidak terlalu tinggi sehingga menjadikan produk vape lebih mahal daripada rokok konvensional, sambil menegaskan cadangan menaikkan cukai vape sehingga 10 kali ganda adalah tidak munasabah.

 

Kenaikan kadar cukai secara mendadak, menurut DPVM, tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak — sama ada industri, orang awam mahupun kerajaan.

 

Setiausaha Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, pihaknya percaya Cukai Pro-Kesihatan merupakan mekanisme yang lebih berkesan dan berimbang berbanding larangan penuh.

 

Ridhwan Rosli
                                                            Ridhwan Rosli

 


“Dengan pelaksanaan cukai secara strategik, kerajaan dapat menggunakan kutipan cukai untuk melaksanakan advokasi kesihatan awam sambil mengambil kira realiti ekonomi industri vape.

 

“Namun, jika harga vape melambung tinggi, ramai perokok akan kekal dengan rokok biasa. Satu kajian oleh institusi pendidikan terkemuka dunia, Yale University dan Georgia State University, mendapati peningkatan cukai vape menyebabkan penurunan kadar penggunaan vape tetapi peningkatan dalam tabiat merokok dalam kalangan golongan dewasa muda berumur antara 18 hingga 25 tahun.

 

“Fenomena ini dikenali sebagai ‘kesan penggantian’, di mana pengguna beralih kepada alternatif yang lebih murah atau lebih mudah diperoleh seperti rokok atau vape seludup — yang akhirnya tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak, sama ada industri, orang awam ataupun kerajaan,” katanya.

 

Menurut Ridhwan, matlamat utama dasar ini ialah memberi insentif kepada perokok untuk beralih, bukan membebankan mereka.

 

“Jika cukai dinaikkan kepada RM4 per mililiter, sebotol cecair berisipadu 15 mililiter akan mencecah RM60 untuk cukai sahaja, belum termasuk harga jualan runcit,” tegasnya.

 

Beliau menjelaskan, kadar cukai yang munasabah ialah maksimum 80 sen per mililiter, memandangkan terdapat cukai tambahan 10 peratus bagi peranti. Namun, kerajaan harus mempertimbangkan kesan kenaikan ini terhadap pengusaha Bumiputera berskala kecil dan risiko yang bakal mereka hadapi.

 

Ridhwan turut menekankan, Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) menyediakan kerangka undang-undang yang kukuh untuk mengawal selia industri vape secara holistik.

 

Namun, katanya, pelaksanaan di peringkat negeri masih tidak konsisten dengan adanya larangan menjual vape di tujuh negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang dan Perak.

 

"Bagaimanakah kerajaan dapat mengawal selia industri ini sekiranya terdapat percanggahan peraturan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan negeri? Kerajaan ingin mengutip lebih banyak cukai daripada industri, tetapi pada masa sama mahu menyekat aktiviti ekonomi industri tersebut secara keseluruhan? Ini adalah tidak adil," katanya.

 

Menurutnya, Akta 852 perlu dilaksanakan secara konsisten di setiap negeri dan dipantau secara bersepadu kerana pelaksanaan dasar yang tidak seimbang akan memberi kesan negatif kepada kesihatan awam.

 

Beliau turut menegaskan kepentingan memastikan produk vape tidak mudah dicapai oleh golongan bawah umur, termasuk melalui larangan iklan, larangan pameran terbuka dan pengesahan umur ketika jualan.

 

“Industri vape bersetuju perlindungan terhadap remaja mesti diutamakan. Kita mahu vape hanya digunakan oleh orang dewasa yang ingin berhenti mengisap rokok,” katanya.

 

DPVM menyeru Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan untuk mempercepatkan pelaksanaan garis panduan Cukai Pro-Kesihatan sambil menguatkuasakan Akta 852 secara konsisten di seluruh negara.

 

DPVM turut menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan rangka kawalan vape yang seimbang, berkesan dan melindungi kepentingan kesihatan awam. - DagangNews.com