KUALA LUMPUR 26 Mac - Cuckoo International (MAL) Bhd (Cuckoo Malaysia) menyasarkan untuk mengumpul RM184.8 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Syarikat yang terkenal dengan pelbagai produk perkakas rumah, produk kesejahteraan dan perkhidmatan gaya hidup itu akan menerbitkan 143.28 juta saham baharu pada harga IPO RM1.29 setiap satu.
Penyenaraian dijadualkan pada 30 April 2025, dengan nilai pasaran dijangka sebanyak RM1.85 bilion.
Dana yang diperoleh daripada IPO tersebut akan menyokong rancangan pertumbuhan Cuckoo Malaysia, dengan 56.7 peratus diperuntukkan untuk mengembangkan perniagaan sewaannya dan 21.6 peratus untuk pembayaran balik pinjaman bank.
Baki hasil yang diperoleh akan digunakan untuk membuka kedai jenama Cuckoo yang baharu, menaik taraf sistem IT, menyokong pengembangan rakan kongsi yang berpusat di Singapura, Cuckoo International (S) Pte Ltd dan menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoe Kian Choon berkata, IPO berkenaan membolehkan syarikat memperluas rangkaian produknya, meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggan dan meningkatkan peluang jualan silang, seterusnya mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama yang dipercayai.
"Syarikat turut memberi tumpuan untuk meluaskan operasi di Malaysia dan Singapura dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Pada tahun ini sahaja, Cuckoo merancang untuk membuka tiga kedai runcit cash and carry di Malaysia, dengan tujuh lagi dijadualkan pada 2026," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, di Singapura, strategi pengembangan termasuk melancarkan lima kedai runcit pihak ketiga untuk mengukuhkan rangkaian pengedaran produknya.
RHB Investment Bank Bhd adalah penasihat utama tunggal, penyelaras global bersama, penyusun buku bersama, pengurus penjamin bersama dan penjamin bersama untuk IPO tersebut.
AmInvestment Bank Bhd juga bertindak sebagai penyelaras global bersama, penyusun buku bersama,dan penjamin bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan RHB Investment Bank Berhad, Kevin Davies berkata, pihaknya menyokong syarikat yang berhasrat mencapai visi jangka panjang melalui rumusan perbankan pelaburan yang disesuaikan.
"Penglibatan kami dalam IPO Cuckoo Malaysia mengesahkan komitmen kami untuk menyokong pertumbuhan syarikat ini dan kejayaannya yang berterusan," jelasnya.
Cuckoo Malaysia kini menduduki tempat kedua di negara ini dengan pegangan pasaran sebanyak 23.1 peratus pada Disember 2024 bagi segmen sewaan perkakas rumah.
Syarikat tersebut terlibat dalam penjualan dan penyewaan peralatan rumah, tilam dan perabot, jualan produk penjagaan kecantikan, penyediaan perkhidmatan penjagaan rumah, serta aktiviti pegangan pelaburan.
Cuckoo Malaysia adalah pengedar tunggal dan eksklusif produk berjenama Cuckoo di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Seiring dengan pelancaran prospektus syarikat, tempoh permohonan untuk IPO bermula hari ini dan ditutup pukul 5.00 petang pada 10 April 2025. - DagangNews.com








