KUALA LUMPUR 20 Jun - Cuckoo International (MAL) Bhd meraih untung bersih sebanyak RM27.86 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 24 Jun ini.
Cuckoo Malaysia berkata, syarikat mencatat hasil sebanyak RM296.38 juta bagi suku tersebut.
Ini adalah laporan kewangan pertama syarikat sebelum disenaraikan, jadi tiada perbandingan dengan tempoh sama sebelum ini.
"Sebanyak 80 peratus atau RM237 juta pendapatan disumbang produk jenama Cuckoo, manakala 19.7 peratus atau RM58.3 juta disumbangkan oleh produk kerjasama Cuckoo," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoe Kian Choon berkata, prestasi suku pertama itu menunjukkan model perniagaan syarikat berkesan, jenama yang kukuh dan strategi jualan yang berjaya di Malaysia dan Singapura.
"Permintaan terhadap produk rumah dan kesihatan meningkat kerana jumlah isi rumah bertambah lebih cepat berbanding pertumbuhan penduduk," jelasnya.
Beliau juga berkata, lebih ramai pengguna memilih untuk menyewa berbanding membeli kerana hutang isi rumah semakin tinggi.
"Ini sesuai dengan model perniagaan sewaan Cuckoo yang kukuh," ujarnya.
Bagi memenuhi permintaan berkenaan, syarikat akan melabur secara strategik dengan menambah pilihan produk, memperluas perkhidmatan penjagaan rumah serta memperkukuh rangkaian pengedaran.
Syarikat juga akan memperkenalkan kedai konsep tunai dan bawa pulang, Brandshop, memperkukuh kehadiran dalam platform e-dagang dan menambah bilangan ejen jualan di seluruh negara.
Cuckoo Malaysia akan menawarkan sehingga 365.36 juta saham melalui tawaran awam permulaan (IPO).
Ini termasuk tawaran kepada pelabur institusi, pelabur Bumiputera yang diluluskan kerajaan, orang awam, pekerja dan pihak yang membantu kejayaan syarikat.
Syarikat dijangka mengumpul RM154.74 juta hasil daripada saham baharu yang dijual pada harga RM1.08 sesaham, 16.3 peratus lebih rendah daripada harga asal RM1.29.
Harga tersebut diturunkan selepas penyenaraian syarikat ditangguhkan dua bulan daripada 30 April ke 24 Jun 2025, berikutan ketidaktentuan pasaran global.
Dana yang dikumpul daripada IPO akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan sewaan, membayar balik pinjaman, membuka kedai baharu, menaik taraf sistem IT dan memperluas operasi ke Singapura. - DagangNews.com








