CTRM muktamadkan pengambilalihan Spirit AeroSystems | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTRM muktamadkan pengambilalihan Spirit AeroSystems

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Dis – Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Berhad berjaya memuktamadkan pengambilalihan Spirit AeroSystems Malaysia Sdn Bhd (Spirit MY) selepas menerima kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

 

Pada 14 November 2025, pemegang saham DRB-Hicom telah memberikan kelulusan kepada pengambilalihan ini, manakala kelulusan daripada Suruhanjaya Eropah dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat, masing-masing diperolehi pada 14 Oktober dan 3 Disember 2025.

 

Dalam kenyataan hari ini, CTRM berkata, transaksi strategik ini membuka ruang penting untuk mengembangkan kepakaran aero-struktur kumpulan, sekali gus mengukuhkan daya saingnya dalam sektor aeroangkasa global.

 

"Langkah tersebut dijangka meningkatkan skala operasi, kecekapan serta momentum pertumbuhan CTRM dalam pelbagai segmen," kata kenyataan itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: DRB Hicom naikkan harga belian Spirit MY kepada AS$110.62 juta

 

Tambah kenyataan itu lagi, sinergi yang diwujudkan juga akan memperkasa penyertaan CTRM dalam program utama industri aeroangkasa dunia, termasuk kerjasama lebih mendalam dengan Airbus untuk program A220, A320 dan A350 serta program Boeing 737 dan 787.

 

Platform lebih kukuh untuk pertumbuhan masa depan

Menurut CTRM, penyatuan operasi dengan Spirit MY akan menyediakan platform lebih teguh untuk penambahbaikan berterusan dan disiplin operasi, di samping memacu penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pemegang taruh.

 

"Gabungan kedua-dua organisasi itu mencipta kapasiti lebih besar bagi pelaburan dalam pembangunan tenaga kerja, kemajuan teknologi dan inisiatif kelestarian – kesemuanya faktor kritikal dalam memenuhi permintaan masa depan industri aeroangkasa," kata kenyataan itu.

 

Langkah ini juga mengukuhkan kedudukan CTRM sebagai pemain aeroangkasa yang berdaya tahan dan bersedia untuk berdepan cabaran masa depan, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab aeroangkasa serantau.

 

DRB Hicom sebelum ini memberitahu kumpulan itu telah menaikkan anggaran harga belian bagi pengambilalihan Spirit AeroSystems kepada AS$110.62 juta, meningkat 16.2% berbanding nilai perusahaan yang diumumkan sebelum ini berjumlah AS$95.2 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata peningkatan tersebut berpunca daripada pelarasan tunai serta hutang berdasarkan perjanjian jual beli (SPA).

 

Nilai baharu itu merangkumi nilai perusahaan AS$95.2 juta, ditambah tunai AS$16.94 juta, ditolak hutang AS$1.52 juta, tanpa sebarang pelarasan terhadap modal kerja bersih. - DagangNews.com