DRB Hicom naikkan harga belian Spirit MY kepada AS$110.62 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DRB Hicom naikkan harga belian Spirit MY kepada AS$110.62 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Dis – DRB-HICOM Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), menaikkan anggaran harga belian bagi pengambilalihan Spirit AeroSystems Malaysia Sdn Bhd (Spirit MY) kepada AS$110.62 juta, meningkat 16.2% berbanding nilai perusahaan yang diumumkan sebelum ini berjumlah AS$95.2 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata peningkatan tersebut berpunca daripada pelarasan tunai serta hutang berdasarkan perjanjian jual beli (SPA).

 

Nilai baharu itu merangkumi nilai perusahaan AS$95.2 juta, ditambah tunai AS$16.94 juta, ditolak hutang AS$1.52 juta, tanpa sebarang pelarasan terhadap modal kerja bersih.

 

"Pengambilalihan ini membabitkan keseluruhan 501,000 saham dalam Spirit MY daripada Spirit AeroSystems, Inc. dan Spirit AeroSystems International Holdings, Inc. serta akan diselesaikan sepenuhnya secara tunai," kata kenyataan itu,

 

Spirit MY yang berpangkalan di Subang, Selangor merupakan pembekal utama struktur aerostruktur lanjutan bagi program Airbus – A220, A320, A321 dan A350 – serta Boeing – B737 dan B787.

 

Syarikat itu turut menyediakan khidmat kejuruteraan, pengurusan rantaian bekalan dan perkhidmatan bersama kepada syarikat berkaitan.

 

CTRM, yang terkenal dalam pembuatan komposit aeroangkasa, berkata pengambilalihan ini dijangka mengukuhkan kemampuan aerostruktur kumpulan serta merapatkan hubungan dengan pengeluar peralatan asli (OEM) global.

 

Menariknya, transaksi ini juga berkait rapat dengan keputusan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) Amerika Syarikat, yang mengarahkan Spirit MY dilupuskan kepada CTRM sebagai sebahagian daripada semakan penggabungan Boeing–Spirit.

 

Bagaimanapun, FTC mempunyai kuasa untuk membatalkan transaksi sekiranya CTRM dianggap tidak memenuhi syarat atau proses pelupusan tidak memuaskan.

 

Jika itu berlaku, Spirit MY perlu dilupuskan dalam tempoh 180 hari kepada pembeli lain yang diluluskan FTC.

 

AmInvestment Bank bertindak sebagai penasihat utama DRB-HICOM bagi urus niaga tersebut. - DagangNews.com