KUALA LUMPUR 20 Nov – Cropmate Bhd terus menunjukkan prestasi kukuh apabila mencatatkan peningkatan ketara pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY25), disokong pertumbuhan hasil dan keuntungan yang lebih memberangsangkan berbanding suku sebelumnya.
Menurut syarikat itu, hasil kumpulan melonjak 33.0% suku ke suku (QoQ) kepada RM60.9 juta berbanding RM45.7 juta pada 2QFY25, didorong jumlah jualan baja yang lebih kukuh. Seiring peningkatan itu, untung sebelum cukai (PBT) turut naik 21.3% kepada RM5.6 juta daripada RM4.6 juta.
Margin keuntungan kasar kekal stabil pada 15.4%, mencerminkan struktur kos yang terurus dan pengurusan campuran produk yang berdisiplin.
Prestasi tahunan turut mengukuh apabila hasil meningkat 34.2% tahun ke tahun (YoY) daripada RM45.3 juta pada 3QFY24 kepada RM60.9 juta pada 3QFY25, dipacu permintaan berterusan daripada pemain pertanian domestik.
PBT turut berkembang 16.0% YoY, meningkat daripada RM4.8 juta kepada RM5.6 juta.
Jualan tempatan terus menjadi pemangkin utama, menyumbang 95.3% daripada jumlah hasil, manakala permintaan eksport kekal stabil dari Singapura, Sri Lanka, Mauritius, Vietnam, Indonesia dan Jepun.
Pengarah Urusan Cropmate, Lee Chin Yok berkata peningkatan angka suku tersebut menggambarkan daya tahan sektor pertanian negara serta permintaan berterusan terhadap penyelesaian baja berkualiti.
“Prestasi suku ketiga kami mencerminkan kekuatan berterusan ekosistem pertanian Malaysia dan keupayaan kami untuk menyokong penanam dengan penyelesaian baja yang andal dan berkualiti. Jumlah jualan yang lebih tinggi pada suku ini menunjukkan permintaan yang sihat daripada segmen tanaman utama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kumpulan kekal fokus pada kecekapan operasi dan pengurusan kos yang berdisiplin untuk mengekalkan margin sambil memperkukuh kedudukan bagi pengembangan jangka panjang.
Setakat 30 September 2025, syarikat telah menggunakan RM24.3 juta daripada jumlah kutipan IPO sebanyak RM42.0 juta, yang diagihkan kepada modal kerja, perbelanjaan modal, perbelanjaan penyenaraian dan pembiayaan separa bagi cadangan pengambilalihan Lot Kilang 8949 dan 8950.
Syarikat juga sedang meneruskan cadangan pelupusan Lot 51, dengan ketiga-tiga proses korporat itu kini menunggu penyelesaian.
Lee menambah prospek permintaan baja akan terus bergerak seiring perkembangan sektor pertanian negara.
“Melihat ke hadapan, permintaan baja akan terus menjejaki perkembangan dalam sektor pertanian yang lebih luas, terutamanya dalam pengeluaran kelapa sawit dan ladang durian. Walaupun risiko luaran seperti pergerakan harga komoditi dan ketidakpastian geopolitik mungkin mempengaruhi sentimen penanam, kami tetap optimis dengan berhati-hati.
“Pelaburan modal berterusan kami, termasuk pemerolehan hartanah dan penambahbaikan kemudahan, sejajar dengan pengukuhan skala operasi, liputan pasaran dan keupayaan inovasi produk Cropmate,” katanya. - DagangNews.com








