CPE Technology dijangka raih manfaat daripada lonjakan semikonduktor global – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CPE Technology dijangka raih manfaat daripada lonjakan semikonduktor global – Maybank IB

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 12 Jun - CPE Technology Bhd dijangka meraih manfaat daripada pembangunan global fasiliti fabrikasi semikonduktor baharu, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB). 

 

Syarikat memiliki kepakaran dalam pengeluaran sistem gas bersepadu (IGS) yang merupakan peralatan penting dalam fasa awal proses pembuatan semikonduktor.

 

Kepakaran itu membolehkan CPE Technology memenuhi permintaan yang meningkat terhadap peralatan semikonduktor sejajar peluasan kapasiti syarikat pengeluaran cip global.

 

Laporan itu juga menandakan liputan penganalisis pertama ke atas syarikat sejak disenaraikan di Pasaran Utama pada Disember 2023.

 

"Walaupun berdepan ketidaktentuan tarif, CPE berupaya meraih permintaan tambahan bagi peralatan semikonduktor hadapan susulan kedudukannya yang kukuh dalam rantaian bekalan IGS serta potensi pertumbuhan hasil kebangkitan semikonduktor Jepun menerusi pelanggan Jepun bagi modul IGS," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Modul IGS merupakan komponen utama sistem penghantaran gas yang direka menjimatkan ruang dan memudahkan penyelenggaraan dalam bilik bersih pembuatan cip.

 

CPE Tech kini memperluas kapasiti pengeluaran sebanyak 21% menerusi loji baharu, dengan kadar penggunaan semasa mencecah 90% hingga 95%, membolehkannya menjana keuntungan lebih tinggi apabila tempahan meningkat.

 

Permintaan kukuh dalam sektor semikonduktor melonjakkan keuntungan bersih syarikat itu lebih dua kali ganda kepada RM20.4 juta atau 3.04 sen sesaham bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025 (9BFY25), disokong pertumbuhan hasil 44.5% kepada RM96.71 juta.

 

Maybank IB menetapkan harga sasaran RM1 dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) keuntungan tiga tahun sebanyak 32% dari FY24 hingga FY27, menyifatkan CPE Tech sebagai "peluang pelaburan jangka panjang dengan prospek jelas menjelang 2026".

 

Syarikat turut mengeluarkan komponen dan alat ganti berketepatan tinggi serta menyediakan perkhidmatan pemesinan berangka terkawal komputer (CNC) kepada pelanggan dalam sektor semikonduktor, sains hayat, peranti perubatan dan peralatan sukan, terutamanya dari Amerika Syarikat (AS), Singapura, dan Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu turut menekankan lonjakan semula industri semikonduktor Jepun sebagai pemangkin tambahan kepada margin keuntungan syarikat, sekali gus menyokong saranan "beli" ke atas CPE Tech.- DagangNews.com