Citaglobal beli 12.8% kepentingan tidak langsung dalam Mutiara Perlis, pemaju projek Koridor Maritim Perlis bernilai RM27.8 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Citaglobal beli 12.8% kepentingan tidak langsung dalam Mutiara Perlis, pemaju projek Koridor Maritim Perlis bernilai RM27.8 bilion

MOHAMAD Norza Zakaria dan Shabaruddin Ibrahim bertukar dokumen perjanjian pembelian ekuiti Mutiara Perlis oleh Citaglobal Bhd.
Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Citaglobal Bhd mengumumkan cadangan pengambilalihan bernilai RM40 juta bagi 12.8% kepentingan tidak langsung dalam Mutiara Perlis Sdn Bhd, pemaju utama projek Koridor Maritim Perlis (PMC) yang mempunyai kos pembangunan kasar berjumlah USD6.5 bilion (RM27.8 bilion).

 

Langkah ini menempatkan Citaglobal sebagai antara pemain utama dalam industri infrastruktur pelabuhan dan logistik negara, serta memperkukuh kredibiliti kumpulan dalam pembangunan koridor ekonomi strategik.

 

Pengambilalihan tersebut akan dilaksanakan menerusi pembelian 20% ekuiti atau 600,000 saham dalam Manjaran Sdn Bhd pada harga RM40 juta. Pegangan 20% dalam Manjaran ini mewakili kepentingan efektif sebanyak 12.8% dalam Mutiara Perlis.

 

 

 

 

 

 

Citaglobal akan memperoleh kepentingan tersebut daripada Dedap Rimbun Sdn Bhd dan bayaran akan dilunaskan sepenuhnya menerusi terbitan 42.11 juta saham baharu Citaglobal pada harga terbitan 95 sen sesaham.

 

PMC merupakan hab logistik bersepadu yang sedang dibangunkan, merangkumi Pelabuhan Darat Perlis (PIP), Pelabuhan Sanglang Perlis, dan Hab Tenaga Perlis. Disokong oleh Kerajaan Negeri Perlis dan Kerajaan Persekutuan, PIP memegang kepentingan strategik dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). 

 

Sehingga kini, Kerajaan Persekutuan menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah melabur hampir RM400 juta bagi membangunkan infrastruktur luaran menyokong pembangunan PIP.

 

Pengerusi Eksekutif & Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, pengumuman hari ini memperkukuh lagi peranan Citaglobal dalam Koridor Maritim Perlis, yang merupakan antara projek infrastruktur, tenaga dan logistik paling kritikal di Malaysia.

 

"Penglibatan serta pelaburan kami dalam PMC selari dengan visi lebih besar kami untuk muncul sebagai antara pemain utama negara dalam pembangunan infrastruktur dan peralihan tenaga. 

 

"Selain itu, pelaburan ekuiti ini turut meningkatkan peluang kami untuk memperoleh lebih banyak kontrak EPC berkaitan PMC pada masa akan datang," katanya.

 

Menurut Norza, fasa pertama PIP yang telah siap dibina dan bakal memulakan operasi dalam masa terdekat dijangka menyumbang secara signifikan kepada prestasi kewangan Kumpulan. 

 

"Dengan penglibatan awal dalam fasa ekuiti projek ini, Citaglobal berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat apabila aset PMC matang dan meningkat nilai.

 

"Memandangkan pelan induk PMC turut melibatkan komponen tenaga seperti Hab Tenaga Perlis yang bakal merangkumi penjanaan berasaskan gas, tenaga solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), pelaburan ini juga sejajar dengan strategi pertumbuhan kami dalam tenaga baharu sambil memperkukuh asas dalam kejuruteraan dan pembinaan.

 

"Keseluruhannya, ini merupakan pelaburan strategik dan sinergistik bagi kejayaan Citaglobal dan kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada pembangunan bersejarah Koridor Maritim Perlis," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan Citaglobal ke dalam keluarga Koridor Maritim Perlis dan amat teruja untuk bekerjasama.

 

'Kami berkongsi visi dalam membangunkan ekonomi tempatan Perlis, meningkatkan kesejahteraan sosial serta memperkukuh keupayaan logistik serantau Malaysia di Asia.

 

"Dalam landskap pelabuhan dan logistik yang semakin mencabar, kejayaan pelabuhan kini bergantung kepada keupayaan digital, integrasi perkhidmatan hujung-ke-hujung, skalabiliti dan daya tahan rantaian bekalan. 

 

"Dengan kehadiran Citaglobal sebagai rakan strategik, kami yakin dapat membina rangkaian logistik lebih pintar, berdaya tahan dan berorientasikan pelanggan untuk Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, PIP yang terletak di Padang Besar, hanya 4.7km dari sempadan Malaysia-Thailand, bakal menggantikan Terminal Kontena Padang Besar yang kini terlebih kapasiti. Ia akan menyokong pertumbuhan perdagangan rentas sempadan, khususnya kargo rel yang menyumbang 60% daripada jumlah keseluruhan pergerakan kargo rel Malaysia. 

 

Dijangka mula beroperasi pada September 2025, PIP akan menyediakan kapasiti kontena tambahan serta perkhidmatan pergudangan dan logistik bagi industri halal, automotif dan getah.

 

Turut dibangunkan ialah Hab Tenaga Perlis, yang bakal membekalkan sehingga 5GW tenaga elektrik ke kawasan Utara Malaysia dan Selatan Thailand.

 

Pelabuhan Sanglang Perlis pula merupakan komponen utama lain dalam PMC dan dianggap sebagai projek berimpak nasional. Pelabuhan ini bakal menempatkan terminal kargo pukal untuk barangan kering dan cecair, serta pangkalan bekalan bagi kapal dan pengendali lapangan minyak dan gas yang beroperasi di Langkawi dan Lembangan Minyak Langkasuka yang sedang dibangunkan.

 

Pelaburan Citaglobal dalam PMC memperluas lagi penglibatan Kumpulan dalam salah satu projek infrastruktur terbesar di wilayah utara. 

 

 

 

Menerusi anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Land Sdn Bhd, syarikat sebelum ini telah dilantik sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) bagi Fasa 1 PIP oleh Inland Port Perlis Sdn Bhd, syarikat tujuan khas (SPV) projek tersebut, dengan nilai kontrak sebanyak RM373.5 juta pada Ogos 2022.

 

Mutiara Perlis merupakan usaha sama (JV) antara Mutiara Infra dan Kerajaan Negeri Perlis menerusi Menteri Besar Inc Perlis (MBI), dengan Mutiara Infra memegang 80% kepentingan dalam Mutiara Perlis manakala MBI memegang baki 20%. - DagangNews.com