KUALA LUMPUR 10 Mac – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia terus memperkukuh agenda pendigitalan sektor pembinaan negara menerusi pengenalan platform Digital Construction Management (DCM) oleh CIDB Digital, sebuah anak syarikat CIDB Malaysia yang memfokuskan pembangunan penyelesaian digital bagi industri pembinaan.
Platform DCM merupakan satu sistem pengurusan pembinaan digital bersepadu yang direka untuk meningkatkan kecekapan perancangan, pelaksanaan serta pemantauan projek pembinaan melalui penggunaan teknologi digital dan integrasi Building Information Modelling (BIM).
Pengenalan platform ini juga bertepatan dengan penjenamaan semula CIDB E-Construct Services Sdn. Bhd. kepada CIDB Digital Sdn. Bhd., yang mencerminkan peranan baharu organisasi tersebut sebagai pemacu utama pembangunan ekosistem digital industri pembinaan negara.
Pelancaran platform DCM dan penjenamaan CIDB Digital telah disempurnakan oleh Pengerusi CIDB Malaysia, Dato’ Ir. Yusuf Abd. Wahab dalam satu majlis khas bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun penubuhan organisasi berkenaan yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Turut hadir Pengurus Besar Kanan CIDB Malaysia, Suhaimi Mansor.
Platform DCM dibangunkan bagi menyediakan satu ekosistem digital yang membolehkan semua pihak berkepentingan dalam projek pembinaan — termasuk konsultan, kontraktor, pemilik projek serta pasukan di tapak pembinaan — bekerjasama dengan lebih cekap melalui perkongsian maklumat projek secara berpusat dan masa nyata (real-time).
Platform digital tingkat kecekapan pengurusan projek
Melalui platform ini, pengguna dapat memantau kemajuan projek, jadual kerja serta isu yang berpotensi secara masa nyata, sekali gus meningkatkan ketelusan dalam pengurusan projek, mempercepat proses membuat keputusan serta mengurangkan risiko kesilapan dalam pelaksanaan projek pembinaan.
Platform DCM mengintegrasikan pelbagai fungsi penting pengurusan projek termasuk penyelarasan BIM, kawalan reka bentuk, pengurusan operasi tapak, pemantauan kemajuan projek serta analitik data bagi menyokong tadbir urus projek yang lebih sistematik dan berkesan.
Sehingga kini, DCM telah digunakan dalam lebih 60 projek pembinaan berskala besar di lima negara, melibatkan nilai projek melebihi AS$8 bilion, sekali gus membuktikan keupayaan platform ini dalam menyokong pelaksanaan projek kompleks dengan tahap keselamatan, kebolehpercayaan dan kecekapan yang tinggi.
Ir. Yusuf berkata pengenalan platform ini merupakan satu langkah penting dalam mempercepat transformasi digital industri pembinaan negara.
“Pengenalan platform DCM mencerminkan komitmen CIDB dalam memperkasa penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti, ketelusan dan kecekapan pengurusan projek pembinaan. Pendigitalan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi memastikan industri pembinaan negara kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi global yang semakin berasaskan teknologi,” katanya.
Sasar jadi tulang belakang digital industri pembinaan
Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Digital, Sr Nazir Muhamad Nor berkata platform DCM dibangunkan bagi menyokong transformasi menyeluruh industri pembinaan melalui penggunaan teknologi digital.
“Platform ini membolehkan semua pihak yang terlibat dalam projek pembinaan bekerjasama secara lebih bersepadu melalui perkongsian maklumat yang lebih cekap, telus dan sistematik. Ini seterusnya membantu meningkatkan keberkesanan projek pembinaan serta mengurangkan ketirisan dalam pelaksanaan projek pembinaan,” katanya.
Menurut Sr Nazir, menjelang tahun 2030, CIDB Digital menyasarkan untuk menjadi tulang belakang digital kepada ekosistem pembinaan negara dengan menyediakan platform digital yang selamat, bersepadu dan berdaya tahan bagi menyokong pembangunan industri pembinaan Malaysia.
Selain pembangunan platform digital seperti DCM, CIDB Digital turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kompetensi tenaga kerja industri pembinaan melalui pelbagai program latihan berkaitan BIM, teknologi pembinaan digital serta pengurusan projek berasaskan sistem digital.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan pembangunan kapasiti digital industri, myBIM Malaysia telah diwujudkan yang merangkumi myBIM Centre di Kuala Lumpur serta 12 myBIM Satellite di seluruh negara.
Pelaburan RM19 juta perkasa ekosistem BIM negara
Dengan pelaburan berjumlah RM19 juta bagi kemudahan makmal, peralatan teknologi serta pembangunan modul latihan, rangkaian ini menyasarkan penyertaan 2,000 peserta setiap tahun bagi memastikan pemain industri bersedia mengadaptasi teknologi BIM serta memperkukuh ekosistem digital industri pembinaan negara.
Inisiatif ini selari dengan agenda nasional di bawah Pelan Tindakan Pembinaan 2026–2030 (CAP30) serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menekankan penggunaan teknologi digital sebagai pemacu utama peningkatan produktiviti, ketelusan serta daya saing sektor pembinaan negara.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh wakil kementerian, agensi kerajaan, pemain industri serta rakan strategik sektor pembinaan sebelum diteruskan dengan majlis berbuka puasa sebagai simbolik pengukuhan kerjasama serta jaringan strategik dalam industri.
Dengan pengenalan platform DCM, CIDB Digital optimis bahawa industri pembinaan Malaysia akan terus bergerak ke arah ekosistem yang lebih moden, cekap dan mampan selari dengan aspirasi negara untuk mempercepat transformasi digital sektor pembinaan. - DagangNews.com








