KUALA LUMPUR 18 Jun – Chin Hin Group Bhd membatalkan rancangan membeli dua syarikat berkaitan pusat data susulan kegagalan mendapat tempahan projek bernilai sekurang-kurangnya RM380 juta, seperti yang disyaratkan dalam perjanjian.
Chin Hin berkata, perjanjian jual beli saham itu ditamatkan kerana pihak penjual dan perunding tidak dapat memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
Jelasnya, pengambilalihan yang diumumkan pada Ogos 2024 itu melibatkan pembelian 65% pegangan dalam CSS Engineering & Construction Sdn Bhd (CEC) dan Critical System Specialist Sdn Bhd (CSS) bernilai RM51.51 juta.
"Pembelian ini sepatutnya dibayar secara tunai dan saham.
"Bayaran tersebut merangkumi RM26.51 juta secara tunai dan 7.91 juta saham Chin Hin pada harga RM3.16 sesaham, bersamaan RM25 juta," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Harga saham itu lebih tinggi daripada harga semasa saham Chin Hin, yang pernah jatuh mendadak pada akhir September tahun lalu.
CEC terlibat dalam kerja kejuruteraan dan pembinaan, manakala CSS mengurus kemudahan dan projek. - DagangNews.com








