KUALA LUMPUR 24 Nov – Chin Hin Group Property Bhd bersama rakan strategiknya Atlan Holdings Bhd, melancarkan projek kediaman pangsapuri mewah baharunya di pinggir pantai, The Eclipse dekat Stulang di Johor Bahru.
Didirikan di atas tanah seluas 4.28 ekar, pembangunan itu merangkumi dua menara setinggi antara 36 hingga 58 tingkat dengan jumlah keseluruhan 1,116 unit kediaman.
Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut berkata, unit ditawarkan dengan keluasan binaan antara 570 hingga 1,161 kaki persegi dan harga pelancaran bermula daripada RM630,000.
“Terletak kira-kira 2.8 kilometer dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), The Eclipse mempunyai akses terus ke rangkaian pengangkutan utama seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur (EDL), JB Sentral dan Jalan Tun Abdul Razak.
“Projek itu turut berada berhampiran Stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Bukit Chagar yang akan menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura, dengan anggaran masa perjalanan antara 15 hingga 30 minit.
“Reka bentuk projek berkenaan disediakan oleh WDA Architects, manakala konsep landskap dan reka bentuk dalaman dibangunkan oleh Landart Associates dan Ministry of Design (MOD),” menurut kenyataan tersebut.
Antara kemudahan yang disediakan di tingkat 11 ialah kolam renang, ruang rehat, gelanggang pickleball, sauna garam Himalaya serta balkoni terbuka dengan pemandangan pesisir Pantai.
Setiap unit dilengkapi sistem penyaman udara inverter, dapur siap pasang, kunci digital dan ciri integrasi rumah pintar.
MAPLE Hospitality Group akan menyediakan perkhidmatan merangkumi pembersihan rumah, sokongan penyewaan, pengangkutan ulang-alik, pengurusan bungkusan dan kerja penyelenggaraan.
Chin Hin mengetuai pembangunan projek tersebut, manakala Atlan menyumbang melalui pelaburan tanah strategik dan pengalaman dalam pengurusan aset jangka panjang. - DagangNews.com








