KUALA LUMPUR 7 Nov - Bursa Malaysia Securities Berhad telah mengenakan teguran awam dan denda RM30,000 terhadap bekas Pengarah Eksekutif Scanwolf Corporation Berhad (SCNWOLF), Cheong Chen Khan, kerana melanggar peraturan Pasaran Utama berhubung penyampaian maklumat palsu dan mengelirukan.
Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata Cheong telah melanggar perenggan 2.18(1)(a) dan (c) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (Main LR) yang menetapkan bahawa setiap pengarah syarikat tersenarai perlu memastikan sebarang maklumat, kenyataan atau dokumen yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia adalah jelas, tepat dan tidak palsu atau mengelirukan.
Cheong didapati telah memalsukan gelaran kehormat “Dato” dalam laporan tahunan SCNWOLF bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022, 2023 dan 2024. Dalam laporan tersebut, beliau digambarkan sebagai “Dato’ Cheong Chen Khan” termasuk dalam bahagian Profil Pengarah.
Siasatan Bursa Malaysia mendapati Cheong mengemukakan dokumen palsu kepada syarikat bagi menyokong dakwaan kononnya beliau menerima penganugerahan gelaran tersebut, sehingga menyebabkan pendedahan tidak tepat dalam laporan tahunan berkenaan.
Selepas mengambil kira semua fakta dan keadaan serta selesai proses siasatan, Bursa Malaysia mengenakan teguran awam dan denda RM30,000 ke atas Cheong di bawah perenggan 16.19 Main LR.
Bursa Malaysia menegaskan ia memandang serius pelanggaran tersebut, sambil menekankan bahawa setiap pengarah syarikat tersenarai perlu mengekalkan tahap integriti, akauntabiliti dan tadbir urus korporat tertinggi.
Cheong meletakkan jawatan daripada Lembaga Pengarah SCNWOLF pada 1 Oktober 2025.
Bursa Malaysia turut menegaskan bahawa ketepatan pendedahan korporat adalah penting bagi mengekalkan integriti pasaran dan keyakinan pelabur. - DagangNews.com








