CelcomDigi bekerjasama dengan Kerajaan Terengganu sokong pertumbuhan sukan ekuestrian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CelcomDigi bekerjasama dengan Kerajaan Terengganu sokong pertumbuhan sukan ekuestrian

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 19 Mei – CelcomDigi Bhd menjalinkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Terengganu bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur digital di negeri ini dan menyokong pertumbuhan sukan daya tahan dan ekuestrian menerusi platform Arena CelcomDigi.

 

Kerjasama itu termasuk menaik taraf Terengganu International Endurance Park (TIEP) dan menyokong pasukan ketahanan dan ekuestrian tempatan dalam tempoh lima tahun, disokong pelaburan RM3 juta. 

 

Inisiatif itu sejajar dengan agenda pendigitalan negeri yang lebih luas.

 

 

 

Sejak penggabungan syarikat tiga tahun lalu, CelcomDigi telah melabur lebih RM300 juta dalam pelbagai inisiatif negeri termasuk menaik taraf rangkaian digital, memperluaskan liputan kesalinghubungan, dan menyokong transformasi perniagaan tempatan.

 

Dengan lebih dua pertiga penduduk Terengganu sebagai pelanggan dan lebih 400 cawangan fizikal di seluruh negeri, CelcomDigi optimis dapat menyumbang secara mampan ke arah pembangunan masyarakat digital Terengganu.

 

CelcomDigi

 

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, mereka amat berbangga dengan pasukan tempatan bertaraf dunia yang bersaing di peringkat antarabangsa. 

 

"Pelaburan ini diyakini mampu memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi serta industri pelancongan Terengganu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Majlis tersebut disaksikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

Idham berkata, melalui Arena CelcomDigi, mereka mahu mempertingkat kesedaran dan penyertaan awam terhadap sukan kuda lasak serta ekuestrian khususnya dalam kalangan anak muda.

 

TIEP dijangka menjadi pemacu baharu dalam mengangkat nama Terengganu sebagai hab sukan berkuda bertaraf dunia, sekali gus melonjakkan sektor pelancongan sukan dan ekonomi negeri secara keseluruhan.- DagangNews.com