KUALA LUMPUR 10 Mac - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mencatatkan prestasi kewangan kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan pendapatan hartanah bersih (NPI) melonjak 9.7%.
Menurut kumpulan amanah hartanah berkenaan, hasil tersebut berjaya meningkat kepada sebanyak RM289.4 juta, berbanding kira-kira RM263.9 juta dicatatkan pada tahun kewangan yang sebelumnya.
Kenaikan ini didorong terutamanya sumbangan hasil daripada hartanah perindustrian dan logistik yang baru diperoleh serta pelarasan sewa positif merentas sebahagian besar portfolio hartanahnya.
"Pendapatan kasar naik 4.8% kepada RM476.8 juta, dipacu prestasi stabil aset runcit dan permulaan pengiktirafan sewa kemudahan logistik dan perindustrian," maklum CLMT kepada Bursa Malaysia.
Pendapatan boleh agih pula mencatatkan pertumbuhan 12.3% mencecah RM149.2 juta, manakala agihan seunit (DPU) turut meningkat kepada 4.84 sen, naik kira-kira 4.1% berbanding 4.65 sen pada FY24.
Nilai keseluruhan aset di bawah pengurusan (AUM) juga meningkat 7.0% kepada sebanyak RM5.5 bilion, hasil daripada pemerolehan sejumlah tujuh lagi hartanah yang baharu di sekitar Johor dan Selangor.

Kadar penghunian jelas CLMT, turut bertambah baik kepada sebanyak 94.9% berbanding 92.6% pada 2024, dengan segmen perindustrian dan logistik dikenal pasti mengekalkan penghunian penuh 100%.
"Pihak pengurusan menjelaskan strategi pertumbuhan dua serampang, iaitu secara organik menerusi pengurusan aset aktif dan secara bukan organik melalui pemerolehan strategik," kata kumpulan itu.
Langkah ini membuahkan hasil signifikan, apabila sepanjang 2025, ia melengkapkan pemerolehan aset bernilai RM279.0 juta, termasuk Synergy Logistics Hub di Selangor, yang lebih automatik dan moden.
Dari aspek modal, CLMT mengekalkan kunci kira-kira yang sihat dengan nisbah penggearan menurun kepada 39.0% daripada 41.3% tahun sebelumnya, dibantu faktor penempatan persendirian unit baharu.
Usaha tersebut kata kumpulan berkenaan, berjaya mengumpul dana kasar sekitar RM250.0 juta pada Ogos 2025 untuk mengukuhkan lagi struktur permodalan syarikat itu dalam tempoh jangka sederhana.
"Melangkah ke hadapan, CLMT komited mempelbagaikan portfolio dengan sasaran segmen perindustrian dan logistik merangkumi 20% daripada jumlah AUM menjelang 2028," katanya. - DagangNews.com








