Cambodia Airways mula operasi penerbangan terus Phnom Penh–Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cambodia Airways mula operasi penerbangan terus Phnom Penh–Pulau Pinang

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 30 Jun – Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menerima kehadiran syarikat penerbangan asing ke-18 dengan ketibaan Cambodia Airways, sekali gus melancarkan perkhidmatan terus pertama antara Phnom Penh dan Pulau Pinang.

 

Perkhidmatan dua kali seminggu itu dikendalikan menggunakan pesawat Airbus A320 dan merupakan laluan antarabangsa kedua Cambodia Airways ke Malaysia selepas perkhidmatan sedia ada Phnom Penh–Kuala Lumpur.

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, kemasukan Cambodia Airways sebagai syarikat penerbangan baharu kedua tahun ini selepas Sichuan Airlines mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pintu masuk utama utara dan peranan strategiknya dalam memperkukuh hubungan udara serantau.

 

"Laluan baharu ini selaras dengan Rancangan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025, memperkukuh komitmen Malaysia terhadap integrasi serantau yang lebih mendalam.

 

"Ia membuka laluan baharu kepada perdagangan dan kerjasama rentas sempadan, menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi penting dalam rangkaian ekonomi ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pulau Pinang turut menawarkan penerbangan terus termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, dan Myanmar, mengukuhkan statusnya sebagai hab perdagangan dan pelancongan yang sedang berkembang.

 

Ketibaan Cambodia Airways mencerminkan usaha berterusan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dalam memperluaskan rangkaian penerbangannya dan meningkatkan kesalinghubungan penumpang menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merekodkan 3.4 juta penumpang, meningkat 12% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Daripada jumlah itu, 53% merupakan penumpang antarabangsa manakala 47% adalah penumpang domestik.- DagangNews.com