KUALA LUMPUR 20 Jun - Bursa Malaysia Berhad menubuhkan satu kumpulan kerja industri khas bagi meningkatkan daya tahan siber dalam ekosistem broker saham Malaysia.
Penubuhan kumpulan kerja industri itu merupakan tindakan bersepadu yang diambil susulan insiden dagangan tidak dibenarkan yang berlaku pada 24 April 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, kumpulan itu mewakili usaha bersepadu bagi mengukuhkan daya tahan siber dan ekosistem dagangan negara.
Beliau berkata, industri mengiktiraf daya tahan siber bukan sekadar amalan terbaik dalam teknologi tetapi ia adalah tunjang kepada pasaran modal yang dipercayai dan dinamik.
"Satu ekosistem yang berdaya tahan melindungi keyakinan pelabur, menegakkan integriti pasaran, dan memastikan infrastruktur digital kita mampu menahan serta menyesuaikan diri terhadap ancaman yang terus berkembang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumpulan kerja industri yang dipengerusikan Ketua Pegawai Pengawalseliaan Bursa Malaysia, Julian M Hashim terdiri daripada wakil empat Organisasi Penyertaan (PO) yang disokong oleh bank, dua PO bukan bank, dan dua pakar dalam bidang keselamatan siber.
Kumpulan tersebut telah mengadakan mesyuarat sulungnya pada 17 Jun 2025, di mana ia memuktamadkan terma rujukannya. Mandat kumpulan itu merangkumi:
- Menilai amalan keselamatan siber semasa dan mengenal pasti kelemahan sistemik dalam ekosistem broker saham;
- Membangunkan piawaian dan amalan terbaik di peringkat industri bagi pengurusan risiko teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta tindak balas terhadap insiden
- Mencadangkan penambahbaikan kepada rangka kerja pengawalseliaan dan protokol operasi untuk meningkatkan daya tahan siber.
Kumpulan kerja industri ini menyasarkan untuk memuktamadkan kertas cadangannya dalam tempoh empat bulan, dengan fasa pelaksanaan seterusnya memberi tumpuan kepada perlaksanaan cadangan tersebut.
Menyedari kepelbagaian dari segi kerumitan operasi dalam kalangan firma broker saham, sesi libat urus bersama industri akan dijalankan bagi memastikan kertas cadangan yang dihasilkan adalah praktikal dan relevan dengan keperluan.
Penubuhan kumpulan kerja industri ini adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih meluas untuk memperkukuh daya tahan siber industri.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, firma broker saham telah mengambil langkah berjaga-jaga seperti menetapkan penetapan semula kata laluan secara mandatori, pemantauan yang dipertingkat terhadap log masuk yang luar biasa, menyekat alamat Protokol Internet (IP) yang mencurigakan, serta mengeluarkan amaran kepada pelanggan bagi memastikan maklumat log masuk sentiasa dilindungi.
Selaras dengan usaha ini, pada 21 Mei 2025, Bursa Malaysia telah mengeluarkan arahan mewajibkan semua firma broker saham melaksanakan pengesahan berbilang faktor (multi-factor authentication) sebelum akhir 2025.
Keperluan ini merupakan langkah penting ke arah meningkatkan keselamatan akaun dagangan pelabur dan mengurangkan risiko akses tanpa kebenaran.- DagangNews.com








