Bursa Malaysia tolak permohonan pengecualian SMTrack, diberi tempoh 12 bulan kemukakan pelan pemulihan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia tolak permohonan pengecualian SMTrack, diberi tempoh 12 bulan kemukakan pelan pemulihan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei – Bursa Malaysia telah menolak permohonan SMTrack Bhd untuk mendapatkan pengecualian daripada mematuhi obligasi sebagai syarikat tersenarai yang terjejas di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE (AMLR).

 

Penolakan itu bermakna SMTrack Bhd, yang terlibat dalam teknologi pengecaman frekuensi radio (RFID) kini perlu mematuhi sepenuhnya semua obligasi pemulihan yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

 

Syarikat itu sebelum ini mencetuskan kriteria Rule 8.03A(2)(b) bagi operasi tidak signifikan selepas keputusan kewangan kumpulan bagi tempoh berakhir 31 Disember 2025, yang diumumkan sekitar Februari 2026.

 

Berdasarkan penyata kewangan tidak diaudit bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2025 itu, SMTrack merekodkan hasil tahunan sebanyak RM2.992 juta, iaitu kurang daripada 5% daripada modal saham syarikat.

 

Susulan itu, SMTrack memohon pengecualian daripada pematuhan Rule 8.03A(3) yang menetapkan obligasi pemulihan dan penalti ke atas syarikat terjejas, namun permohonan tersebut ditolak oleh Bursa Malaysia.

 

Dengan penolakan tersebut, SMTrack kini secara rasmi diklasifikasikan sebagai syarikat tersenarai terjejas di bawah AMLR.

 

Dalam masa yang sama, syarikat itu turut berada di bawah kategori GN3, iaitu kategori syarikat bermasalah kewangan di Pasaran ACE yang setara dengan PN17 di Pasaran Utama.

 

Status GN3 itu dicetuskan selepas jumlah kerugian terkumpul SMTrack bagi tempoh 18 bulan berakhir 31 Disember 2024 dan 18 bulan berakhir 30 Jun 2023 berjumlah RM46.76 juta, iaitu melebihi jumlah ekuiti pemegang saham sebanyak RM45.73 juta pada akhir Disember 2024.

 

Selain itu, kerugian 18MFY2024 sebanyak RM30.95 juta adalah 50% lebih tinggi berbanding kerugian RM15.81 juta pada 18MFY2023, menunjukkan peningkatan kerugian secara ketara.

 

Pada masa sama, ekuiti pemegang saham syarikat sebanyak RM45.73 juta juga berada di bawah 50% daripada modal saham berjumlah RM114.86 juta, yang mengukuhkan lagi status kewangan lemah kumpulan.

 

SMTrack kini mempunyai tempoh 12 bulan untuk mengemukakan pelan regularisasi kepada Bursa Malaysia serta mendapatkan kelulusan, jika tidak sekuriti syarikat boleh digantung dan akhirnya dinyahsenarai.

 

Saham SMTrack sebelum ini tidak diniagakan pada Isnin, dengan kali terakhir ia didagangkan pada 15 Mei pada harga 0.5 sen sesaham, menjadikan nilai pasaran syarikat sekitar RM6.6 juta.

 

Syarikat itu telah disenaraikan sejak 2011 dan kekal mencatat prestasi kewangan lemah secara berpanjangan tanpa keuntungan konsisten, selain beberapa kali menukar akhir tahun kewangan termasuk perubahan terakhir pada November tahun lalu yang mengubah tahun kewangan kepada berakhir Jun daripada Disember.

 

Lembaga pengarah SMTrack memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengambil semua langkah perlu untuk merangka pelan pemulihan bagi menangani status GN3 dan status syarikat tersenarai terjejas tersebut. - DagangNews.com