KUALA LUMPUR 15 Okt - Bursa Malaysia Securities Berhad mengeluarkan teguran awam dan mengenakan denda berjumlah RM134,200 terhadap lima bekas pengarah TXCD Berhad kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR Utama) berkaitan kegagalan menerbitkan laporan tahunan bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Disember 2022.
Katanya, ia merangkumi penyata kewangan teraudit serta laporan juruaudit dan pengarah sebelum atau pada 30 April 2023.
Syarikat tersebut hanya mengeluarkan Laporan Tahunan 2022 pada 31 Oktober 2023, iaitu lewat enam bulan daripada tarikh yang ditetapkan, sekali gus melanggar perenggan 9.23(1) LR Utama.
"Lembaga Pengarah TXCD juga diarahkan supaya menilai semula kecekapan dan kecukupan sumber kewangan serta perakaunan syarikat, termasuk menambah baik dasar dan prosedur pelaporan kewangan bagi memastikan pematuhan yang lebih berkesan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Lima bekas pengarah yang didapati bersalah di bawah perenggan 16.13 (b) LR Utama kerana membenarkan pelanggaran itu berlaku ialah dua bekas Pengarah Eksekutif, iaitu Datuk Seri Liew Kok Leong dan Datuk Seri chin Kok Fong yang masing-masing dikenakan teguran awam serta denda masing-masing RM30,500.
Turut dikenakan tindakan ialah tiga bekas Pengarah Bebas Bukan Eksekutif / Pengerusi Jawatankuasa Audit, Lim Yit Kong dan Tajul Arifin Mohd Tahir yang juga dikenakan teguran awam serta denda masing-masing RM30,500 manakala Evelyn Lui Ming Foong ditegur serta dikenakan denda sebanyak RM12,200.
Terdahulu, kegagalan TXCD untuk mengeluarkan Laporan Tahunan 2022 pada atau sebelum 30 April 2023 adalah disebabkan peletakan jawatan juruaudit luarnya pada 24 Februari 2023, iaitu kira-kira dua bulan sebelum tarikh akhir.
Bagaimanapun, kumpulan itu dan bekas pengarahnya gagal menunjukkan langkah munasabah yang diambil untuk menangani atau menyelesaikan isu bersama juruaudit bagi memastikan laporan tersebut dapat dikeluarkan tepat pada masanya.
Selain itu, mereka juga tidak melaksanakan siasatan atau tindakan sewajarnya berhubung peletakan jawatan juruaudit luar, sedangkan perkara itu merupakan kejadian penting dan material yang memerlukan penelitian rapi oleh Lembaga Pengarah.
Bursa Malaysia menjelaskan keputusan mengenakan penalti ini dibuat selepas proses siasatan dan pertimbangan terhadap semua fakta serta kesan pelanggaran kepada syarikat dan pelabur.
Pihak bursa menegaskan penyerahan penyata kewangan tepat pada masanya adalah tanggungjawab utama syarikat tersenarai, kerana ia amat penting dalam memastikan pasaran sekuriti yang teratur, telus dan adil, selain membantu pelabur membuat keputusan berasaskan maklumat yang sahih.- DagangNews.com








