KUALA LUMPUR 6 Mac — Bursa Malaysia Securities Berhad mengeluarkan teguran awam terhadap TFP Solutions Berhad serta Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Sr Eugena Braganza, susulan pelanggaran Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Dalam kenyataan Bursa Malaysia Securities memaklumkan, TFP dikenakan teguran awam kerana melanggar Peraturan 2.18(1)(a) dan (c) apabila gagal memastikan laporan tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 adalah tepat dan tidak mengandungi maklumat palsu atau mengelirukan.
Kesalahan itu melibatkan kenyataan dalam perenggan 3.8 Penyata Gambaran Keseluruhan Tadbir Urus Korporat dalam laporan tahunan berkenaan yang menyatakan semua pengarah syarikat telah melengkapkan Program Akreditasi Mandatori yang ditetapkan Bursa Malaysia.
Namun, siasatan mendapati Datin Eugena hanya melengkapkan Mandatory Accreditation Programme (MAP) Bahagian I berkaitan peranan, tanggungjawab dan liabiliti pengarah pada 11 September 2025, iaitu selepas laporan tahunan 2024 diterbitkan pada 30 Oktober 2024.
Selain itu, Datin Eugena turut dikenakan teguran awam kerana melanggar beberapa peruntukan Peraturan Penyenaraian Pasaran ACE.
Antaranya termasuk Peraturan 2.18(1)(a) dan (c) serta Peraturan 16.13(b) berhubung kenyataan tidak tepat atau mengelirukan berkaitan status penyertaannya dalam MAP dalam laporan tahunan 2024.
Beliau juga didapati melanggar Peraturan 15.08(1) yang dibaca bersama Perenggan 2.2(b)(i)(aa) Nota Panduan 10 kerana gagal melengkapkan MAP Bahagian I dalam tempoh empat bulan daripada tarikh pelantikannya sebagai pengarah pada 15 April 2024.
Sehubungan itu, beliau sepatutnya melengkapkan program tersebut sebelum 15 Ogos 2024, namun hanya berbuat demikian pada 11 September 2025, iaitu lewat setahun dan 27 hari daripada tarikh akhir yang ditetapkan.
Menurut Bursa Malaysia Securities, teguran awam itu dikeluarkan berdasarkan Peraturan 16.19 selepas proses sewajarnya dijalankan dan setelah meneliti semua fakta serta keadaan berkaitan kes tersebut.
Pengawal selia pasaran itu menegaskan bahawa MAP Bahagian I merupakan latihan asas penting bagi memastikan pengarah syarikat mampu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.
Selain itu, kewajipan memastikan pendedahan maklumat yang tepat kepada pasaran adalah amat penting bagi mengekalkan integriti pasaran dan keyakinan pelabur.
Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan TFP serta lembaga pengarahnya mengenai tanggungjawab mereka untuk mengekalkan standard tadbir urus korporat dan akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham serta pelabur.
Latar belakang kes
Datin Eugena dilantik sebagai Pengarah Eksekutif TFP pada 15 April 2024 sebelum dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif pada 1 Julai 2024.
Berdasarkan keperluan Nota Panduan 10, beliau perlu melengkapkan MAP Bahagian I dalam tempoh empat bulan selepas pelantikan tersebut.
Namun demikian, beliau hanya melengkapkan program itu pada 11 September 2025, walaupun telah dimaklumkan mengenai keperluan berkenaan beberapa kali.
Bursa Malaysia Securities menyatakan tiada justifikasi munasabah bagi kelewatan tersebut memandangkan tanggungjawab utama untuk mematuhi keperluan MAP terletak pada pengarah berkenaan.
Ketidakpatuhan itu juga menjadi lebih serius apabila laporan tahunan 2024 yang diterbitkan pada 30 Oktober 2024 mengandungi kenyataan yang tidak tepat mengenai status penyertaan MAP.
Menurut Bursa Malaysia Securities, alasan bahawa kesilapan itu berpunca daripada kesilapan dalaman serta pergantungan kepada setiausaha syarikat dan pihak pengurusan tidak boleh diterima, memandangkan syarikat dan pengarah terbabit mengetahui bahawa keperluan tersebut belum dipatuhi. - DagangNews.com








