Bursa Malaysia tegur Ireka, denda tujuh pengarah berjumlah RM425,000 atas kegagalan dedah risiko kontrak Pan Borneo | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia tegur Ireka, denda tujuh pengarah berjumlah RM425,000 atas kegagalan dedah risiko kontrak Pan Borneo

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 MeiBursa Malaysia Securities Berhad mengenakan teguran awam terhadap Ireka Corporation Berhad, serta tujuh orang pengarahnya dengan denda keseluruhan RM425,000.


Dalam kenyataan ia memaklumkan, tindakan itu dilaksanakan susulan pelbagai pelanggaran keperluan penyenaraian melibatkan kontrak projek lebuh raya Pan Borneo Sabah yang bernilai RM1.07 bilion.


Kumpulan itu ujarnya didapati gagal memastikan pengumuman yang berkaitan surat penganugerahan (LOA) projek fasa 1B pada 8 Oktober 2024 dibuat secara tepat, lengkap dan tidak mengelirukan pelabur.

 

 

 

 

 


"Ireka tidak mendedahkan struktur subkontrak berlapis, termasuk ia subkontrak kedua dan Shoraka Construction Sdn Bhd merupakan syarikat ketiga yang menerima projek itu," kata Bursa Malaysia.


Tambahnya, LOA berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MTD Construction Sdn Bhd selain bergantung kepada pembiayaan yang perlu diperoleh terlebih dahulu.


Kegagalan itu jelasnya, menyebabkan pelabur tidak dapat membuat penilaian risiko yang sewajarnya terhadap projek berkenaan, serta akhirnya membawa kepada penamatan projek dan kehilangan LOA itu.


Di samping itu kata Bursa Malaysia, Ireka tidak membuat pengumuman segera mengenai kegagalan memeterai Articles of Agreement (AOA) dalam tempoh ditetapkan serta penamatan LOA pada 30 Jun 2025.


"Syarikat hanya membuat pengumuman rasmi mengenai cadangan penamatan bersama LOA pada 28 Julai 2025 walaupun dimaklumkan lebih awal dan notis penamatan daripada Gammerlite Sdn Bhd," jelasnya.


Antara dikenakan tindakan termasuk bekas Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Chairil Mohd Tamil masing-masing didenda RM100,000.


Turut dikenakan tindakan yang sama ialah bekas Pengarah Ekesekutif, Chow Sung Chek dengan didenda RM75,000; dan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif, Tan Sri Mohd Ismail Che Rus (RM50,000).


Sementara tiga lagi pengarah bebas bukan eksekutif jelasnya, ialah Datuk Azmi Abdullah (RM25,000), Shahruladeri Mohamad Adnan (RM50,000) serta Norhaizam Mohammad (RM25,000).

 

 

 

 

 


Bursa Malaysia menegaskan pelanggaran itu dipandang serius kerana pendedahan maklumat material yang tepat amat penting bagi memastikan pasaran yang teratur, adil dan mengekalkan keyakinan pelabur.


"Saham Ireka naik 45% selepas pengumuman LOA itu, namun jatuh 77% bermula 1 Julai 2025 susulan perkembangan penamatan projek sebelum pengumuman rasmi dibuat syarikat," katanya. - DagangNews.com