KUALA LUMPUR 14 Mei – Tanco Holdings Bhd diminta memberi penjelasan kepada Bursa Malaysia selepas mengumumkan satu usaha sama (JV) dengan King Well Holdings Ltd (KWHL) dari Hong Kong bagi memasuki perniagaan pembuatan produk konkrit di Malaysia.
Langkah pengembangan itu dibuat ketika Tanco sedang berusaha memperluaskan portfolio perniagaan ke sektor bahan pembinaan dan sokongan projek infrastruktur berskala besar.
Bagaimanapun, pengumuman tersebut mencetuskan semakan lanjut oleh Bursa Malaysia yang meminta penjelasan terperinci berhubung latar belakang rakan kongsi JV berkenaan.
Ini kerana Bursa ingin memastikan ketelusan struktur kerjasama tersebut, khususnya melibatkan profil pemilikan, pengurusan serta kekuatan kewangan KWHL.
Siasatan itu juga susulan Tanco sebelum ini menerima pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) selepas sahamnya mencatat lonjakan ketara di pasaran.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tanco berkata JV tersebut melibatkan penubuhan sebuah syarikat khas bagi mengeluarkan dan membekalkan produk berkaitan konkrit di Malaysia.
Struktur JV itu menyaksikan Tanco memegang 51% pegangan kawalan, manakala KWHL memegang baki 49%.
Bursa Malaysia kemudiannya meminta Tanco memperincikan pemilikan KWHL, pengurusan syarikat serta profil perniagaan mereka.
Selain itu, Bursa turut meminta maklumat kewangan diaudit bagi tempoh tiga tahun terakhir bagi menilai rekod prestasi kewangan rakan kongsi tersebut.
Tanco menjelaskan KWHL merupakan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang baru diambil alih oleh Wang Gang.
Menurut syarikat itu, KWHL ketika ini berfungsi sebagai syarikat pegangan pelaburan dan tidak mempunyai rekod kewangan operasi yang signifikan.
Aktiviti KWHL termasuk pengurusan pelaburan, perundingan maklumat, perdagangan import dan eksport serta aktiviti borong dan runcit.
ARTIKEL BERKAITAN: Tanco Holdings teroka perniagaan produk konkrit menerusi usaha sama dengan syarikat Hong Kong
Tanco turut menjelaskan bagaimana hubungan awal dengan KWHL terjalin melalui penglibatan Wang Gang dalam projek industri sebelum ini.
Wang Gang sebelum ini dikaitkan dengan peranan di Jian Hua dan kemudian diperkenalkan kepada Tanco oleh CCCC Dredging (Group) Co Ltd.
Perkenalan itu berlaku semasa perbincangan bersama bagi projek Midport, yang seterusnya membuka ruang kepada perbincangan kerjasama bagi bekalan bahan pembinaan pelabuhan.
Bursa Malaysia turut mempersoalkan rasional JV ini memandangkan Tanco sudah mempunyai komitmen besar sedia ada dalam projek infrastruktur.
Antara projek utama yang sedang ditanggung syarikat termasuk Projek Midport yang bernilai sehingga RM3.5 bilion serta pembangunan Port Dickson Free Zone.
Projek-projek ini juga melibatkan tanggungjawab pembiayaan yang besar oleh Tanco yang menimbulkan persoalan mengenai keupayaan pengurusan risiko kumpulan tersebut.
Tanco menjelaskan JV ini akan membolehkan mereka membangunkan keupayaan pengeluaran bahan konkrit secara dalaman untuk kegunaan projek sendiri.
Ini termasuk bahan kritikal seperti cerucuk laut bersaiz besar (sea piles) yang digunakan dalam pembinaan infrastruktur pelabuhan.
Menurut syarikat itu, langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar serta membantu mengurangkan risiko turun naik harga dan gangguan bekalan. Selain itu, JV tersebut juga dilihat sebagai platform baharu untuk menjual produk konkrit kepada pihak ketiga di pasaran terbuka.
Ketika ini, projek JV masih berada di peringkat kajian kebolehlaksanaan selama empat bulan yang dikendalikan oleh KWHL. Kajian tersebut meliputi analisis pasaran, permintaan pelanggan, landskap persaingan, strategi pemasaran, kos pelaburan serta penilaian risiko dan pelan mitigasi.
KWHL juga akan menanggung semua kos berkaitan kajian kebolehlaksanaan tersebut, menurut pemakluman Tanco kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, projek ini masih tertakluk kepada kelulusan pelbagai pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Majlis Perbandaran Port Dickson, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta SIRIM. - DagangNews.com








