KUALA LUMPUR 25 Sept - Buku tempahan Wasco Berhad dibimbangi mencatatakan penyusutan ketara pada FY25 disebabkan pengguhan pemberian kontrak baharu dalam sektor minyak dan gas (O&G) susulan kelemahan harga minyak mentah serta ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS).
Kenanga Research berkata, sehingga akhir 2QFY25, buku tempahan kumpulan berada pada paras RM2.2 bilion, jauh lebih rendah berbanding paras puncak kitaran RM3.7 bilion pada 2QFY24.
Bagaimanapun katanya, prospek penambahan kerja kumpulan dijangka hadir daripada segmen kejuruteraan dalam sektor O&G.
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan itu selari dengan unjuran Rystad Energy, yang menjangkakan purata 10–11 projek kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapungnya (FPSO) akan dianugerahkan sepanjang 2025 hingga 2030.
"Aliran kerja bagi segmen salutan paip dijangka kekal perlahan dalam jangka terdekat akibat kelemahan perbelanjaan modal huluan global.
"Namun begitu, bahagian kejuruteraan WASCO dijangka menjadi penyumbang utama kepada pemulihan buku pesanan pada FY25 dan FY26, didorong oleh anugerah projek FPSO baharu.
“Berdasarkan rekod prestasi yang baik dalam EPC modul FPSO, termasuk projek FPSO Angola untuk Yinson tanpa kelewatan atau lebihan kos, kami menjangkakan lebih banyak kejayaan dalam subsegmen ini," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, selain perniagaan minyak dan gas, Wasco juga melihat potensi pertumbuhan melalui unit Wasco Greenergy, yang terlibat dalam rumusan tenaga hijau termasuk dandang biojisim.
Menurut laporan IMR, pasaran peralatan dandang biojisim di Malaysia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 8.6% antara 2025–2029, lebih dua kali ganda berbanding 3.9% pada 2020–2024.
"Kami menyukai Wasco kerana kedudukannya yang kukuh dalam pasaran salutan paip selain pendedahannya kepada segmen tenaga bio yang berpotensi memberikan penilaian semua kepada kumpulan.
"Kami menaikkan penarafan kepada "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.17 sesaham," katanya.- DagangNews.com








