KUALA LUMPUR 2 Sept – TA Securities mengekalkan saranan Jual terhadap Steel Hawk Berhad dengan harga sasaran RM0.10 sesaham, berikutan pemulihan pendapatan syarikat itu masih berada pada kedudukan yang rapuh dan bergantung kepada keupayaannya melaksanakan projek serta memperoleh kontrak baharu.
Firma penyelidikan itu berkata, Steel Hawk menjangkakan sekurang-kurangnya mencapai paras pulang modal pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), sebelum kembali mencatatkan keuntungan pada suku keempat tahun kewangan tersebut.
Jangkaan itu disokong oleh buku tempahan semasa bernilai RM63.4 juta yang dijadualkan untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga empat bulan akan datang.
Bagaimanapun, TA Securities berkata, pihaknya kekal berhati-hati terhadap kadar pemulihan syarikat itu memandangkan margin keuntungan kasar Steel Hawk merosot dengan ketara kepada 10.4% pada separuh pertama FY26 berbanding 41.2% pada tempoh sama FY25.
Menurutnya, margin keuntungan terjejas akibat tempahan kerja yang lebih rendah, peningkatan kos bahan mentah dan penyerapan kos Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), manakala pemulihan pula masih bergantung kepada kawalan kos yang lebih ketat serta pelaksanaan projek mengikut jadual.
Buku Tempahan Masih Terhad
TA Securities berkata, walaupun Steel Hawk mempunyai buku tender yang besar bernilai RM575.8 juta, jumlah itu tidak semestinya menjamin pendapatan masa hadapan kerana sebahagian besar projek tersebut masih belum ditukar kepada kontrak sebenar.
“Buku tempahan semasa sebanyak RM63.4 juta memberikan sedikit keterlihatan kepada pendapatan bagi separuh kedua FY26, namun jumlah itu masih dianggap sederhana berbanding nilai tender yang sedang dibida oleh syarikat tersebut.
“Pihak pengurusan sendiri hanya menjangkakan kira-kira 10% hingga 20% daripada buku tender itu berjaya ditukar kepada kontrak baharu, menyebabkan kami kekal berhati-hati terhadap prospek pendapatan selepas separuh kedua FY26,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Dalam masa sama, Steel Hawk terus memperluaskan perniagaannya di luar sektor minyak dan gas dengan 76.1% daripada buku tempahan semasa dan 77.9% daripada buku tender terdiri daripada projek bukan minyak dan gas.
Projek-projek itu melibatkan sektor tenaga dan utiliti, infrastruktur, pusat data serta penjagaan kesihatan, yang dilihat mampu memperluaskan pasaran syarikat, namun pertumbuhan yang lebih besar masih bergantung kepada kejayaannya memperoleh projek baharu.
Sektor Minyak Dan Gas Masih Tidak Menentu
Firma penyelidikan itu turut berkata, prospek pemulihan tempahan kerja dalam sektor minyak dan gas masih tidak menentu dengan aktiviti projek yang kekal perlahan serta persaingan semakin sengit dalam kalangan kontraktor.
Menurutnya, kontraktor kini bersaing untuk mendapatkan jumlah projek yang terhad, manakala beberapa tender kerja berkaitan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (CMW) pula ditangguhkan sehingga akhir September atau awal Oktober.
Walaupun proses rasionalisasi tenaga kerja oleh PETRONAS berpotensi menyokong pemulihan aktiviti secara beransur-ansur, TA Securities berkata masih terlalu awal untuk melihat tanda-tanda pemulihan ketara dalam tempahan kerja sektor minyak dan gas.
Selain itu, peralihan kontrak PETRONAS Carigali kepada Searah Ltd, sebuah syarikat usaha sama 50:50 antara PETRONAS dan Eni, turut menjejaskan tiga kontrak minyak dan gas Steel Hawk.
Sehubungan itu, TA Securities tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatannya dan mengekalkan saranan jual dengan harga sasaran RM0.10 sesaham, berdasarkan penilaian enam kali pendapatan sesaham bagi tahun kalendar 2027 (CY27).
Firma itu juga berpandangan masa pemulihan sebenar Steel Hawk masih bergantung kepada kejayaan mendapatkan kontrak baharu dan pelaksanaan projek secara berkesan. - DagangNews.com








