Brunei pacu prestasi Hibiscus Petroleum, pengeluaran meningkat 52% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Brunei pacu prestasi Hibiscus Petroleum, pengeluaran meningkat 52%

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Sept - Brunei muncul sebagai penyumbang utama kepada Hibiscus Petroleum Berhad selepas pengeluaran daripada operasinya di negara itu meningkat 52%, ketika syarikat minyak dan gas itu menyasarkan pertumbuhan antara 15% hingga 20% bagi jumlah pengeluaran dan jualan pada FY27.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) berkata, peningkatan pengeluaran di Brunei itu susulan projek pemampat tekanan rendah, dengan pengeluaran dijangka kekal sekitar 7,600 tong setara minyak sehari (boe/d) untuk sekurang-kurangnya 12 bulan akan datang.

 

Prestasi Brunei yang lebih kukuh itu menjadi antara faktor penting kepada prospek Hibiscus Petroleum selepas syarikat menutup FY26 dengan keuntungan yang lebih baik daripada jangkaan.

 

Operasi di Brunei kukuhkan pengeluaran

HLIB Research berkata, keuntungan bersih teras Hibiscus Petroleum bagi 4Q26 melonjak 3.6 kali berbanding suku sebelumnya dan 75% berbanding tahun sebelumnya kepada RM221.4 juta.

 

Prestasi itu meningkatkan keuntungan teras bagi keseluruhan FY26 sebanyak 29% kepada RM386.6 juta, melebihi unjuran HLIB Research dan konsensus pasaran, terutamanya disebabkan pengeluaran yang lebih kukuh.

 

Hasil suku tahunan melonjak 63.5%, disokong harga minyak direalisasikan sebanyak AS$112 setong, meningkat 41% berbanding suku sebelumnya, manakala jumlah jualan meningkat 10% kepada 2.5 juta tong setara minyak.

 

HLIB Research menjangkakan keuntungan 1Q27 akan menyederhana apabila harga minyak melemah, namun kesannya dijangka dapat dikurangkan oleh pemulihan pengeluaran selepas penyelenggaraan berjadual serta jumlah jualan sasaran yang stabil.

 

Perbincangan dengan bakal pelabur strategik juga berpotensi menjadi pemangkin tambahan kepada pertumbuhan syarikat.

 

HLIB naikkan harga sasaran kepada RM2.83

HLIB Research menaikkan unjuran keuntungan FY27 sebanyak 14.7% dan mengekalkan saranan Beli terhadap kaunter Hibiscus Petroleum.

 

Firma penyelidikan itu turut menaikkan harga sasaran saham kepada RM2.83 daripada RM2.74.

 

 

 

 

 

 

Berdasarkan harga rujukan RM2.05, harga sasaran itu menawarkan potensi kenaikan modal sebanyak 38% dan jumlah pulangan dijangka sebanyak 42.9%, termasuk dividen.

 

Dividen Hibiscus Petroleum bagi FY26 mencecah 10 sen sesaham berbanding 8.5 sen sesaham pada FY25. - DagangNews.com