Boost Bank, CGC Digital tawar RM130 juta pembiayaan kepada PMKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Boost Bank, CGC Digital tawar RM130 juta pembiayaan kepada PMKS

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 20 Mac - Boost Bank dan anak syarikat teknologi kewangan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), CGC Digital menjalin kerjasama untuk menyediakan RM130 juta sebagai rumusan pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang layak.

 

Menerusi kerjasama tersebut, CGC Digital akan menyediakan perlindungan jaminan CGC digabungkan dengan rumusan pembiayaan PKMS oleh Boost Bank termasuk kemudahan pinjaman berjangka dan kemudahan kredit pusingan untuk mengukuhkan lagi akses PKMS kepada kemudahan kewangan.

 

Boost Bank dan CGC Digital berkata, tawaran itu diperkenalkan untuk mendekati ribuan PMKS, merapatkan jurang pembiayaan kritikal yang mereka hadapi serta pada masa sama membolehkan mereka meningkatkan operasi dan merebut peluang pertumbuhan.

 

Pembiayaan pinjaman berjangka Boost Bank menawarkan PMKS proses permohonan yang mudah dengan dokumentasi minimum untuk jumlah pinjaman bermula dari RM50,000. 

 

Kemudahan berkenaan mempunyai tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan tanpa yuran penyelesaian awal, memudahkan pengurusan aliran tunai yang berkesan oleh peminjam PMKS. 

 

Perniagaan juga dapat menikmati pilihan pembayaran balik fleksibel yang sesuai keperluan aliran tunai mereka tanpa dikenakan sebarang penalti.

 

Pembiayaan kredit pusingan pula memberikan fleksibiliti kepada PMKS dalam mengurus aliran tunai dan merebut peluang perniagaan dengan mudah, dengan ciri pengeluaran pembiayaan yang pantas, membolehkan perniagaan menerima dana dalam tempoh dua hari bekerja selepas kelulusan pinjaman.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla berkata, pihaknya memahami keperluan unik PMKS dan peranan pembiayaan dalam pertumbuhan mereka.

 

"Kami komited menyediakan platform pembiayaan untuk pertumbuhan PMKS yang kurang mendapat perkhidmatan.

 

"Kerjasama dengan CGC Digital menguatkan kemampuan kami untuk menawarkan rumusan pembiayaan yang mudah diakses, membolehkan PMKS mengatasi cabaran dan meraih peluang pertumbuhan," katanya dalam satu kenyataan.

 

CEO CGC Digital, Yushida Husin pula berkata, Boost Bank adalah rakan bank digital pertamanya, menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan untuk memudahkan akses kepada pembiayaan.

 

"Kerjasama dengan Boost Bank membolehkan kami menawarkan produk kewangan yang lancar, berkesan dan mudah diakses serta memenuhi keperluan unik PMKS.

 

"Kami teruja dengan potensi yang dimiliki oleh kerjasama ini dan berharap untuk meneroka lebih banyak perkongsian dengan pemain digital lain dalam industri," ujarnya. - DagangNews.com