KUALA LUMPUR 11 Nov - Bermula 1 Januari 2027, mana-mana individu yang memohon pembiayaan peribadi melebihi RM100,000 diwajibkan untuk melengkapkan modul pendidikan kewangan selama 15 minit di bawah dasar baharu Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut jurucakap BNM, modul berkenaan dibangunkan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan merangkumi topik utama seperti kadar faedah berkesan, caj penalti serta terma kontrak. Ia bertujuan membantu peminjam menilai kemampuan kewangan, memahami risiko pinjaman dan membuat keputusan yang lebih bijak.
Jurucakap BNM berkata demikian pada Selasa ketika Bengkel Media BNM mengenai usaha memperkukuh amalan adil dalam kalangan penyedia perkhidmatan kewangan.
“Ambang RM100,000 dipilih kerana ia mencerminkan had kebankrapan dan risiko lebih tinggi terhadap ketidakmampuan membayar balik pinjaman,” katanya.
Mengambil iktibar daripada modul RumahKu untuk pembeli rumah kali pertama, BNM mendapati 20 peratus peserta menangguhkan pembiayaan selepas menilai semula keputusan mereka — menunjukkan keberkesanan pendekatan pendidikan kewangan tersebut.
“Kami mahu pengguna benar-benar menilai semula sama ada mereka memerlukan jumlah RM100,000 itu dan memahami akibat sekiranya gagal membayar balik, yang boleh membawa kepada kebankrapan,” tambah jurucakap itu.
“Modul ini membolehkan mereka meneliti semula komitmen hutang sedia ada, menilai kemampuan sebenar, serta memahami kos tambahan yang mungkin tidak disedari pada awalnya.”
Dasar pembiayaan peribadi yang disemak semula oleh BNM turut melarang penggunaan kaedah kadar rata (flat rate) dan Rule of 78 bagi pinjaman baharu, sebaliknya mewajibkan institusi kewangan menggunakan kaedah baki berkurangan (reducing balance method).
Langkah ini sejajar dengan pindaan terkini terhadap Akta Sewa Beli 1967 bagi meningkatkan ketelusan dan keadilan kepada pengguna.
Melalui kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki pinjaman semasa, sekali gus mengurangkan jumlah faedah yang dibayar dari semasa ke semasa — berbeza dengan Rule of 78 yang mengenakan kadar faedah lebih tinggi pada peringkat awal pinjaman.
Selain itu, dasar baharu ini turut memperkukuh keperluan pendedahan kadar faedah berkesan, semakan kemampuan dan amalan pemberian pinjaman bertanggungjawab, memandangkan hampir separuh kes kebankrapan antara 2020 hingga 2024 melibatkan pembiayaan peribadi. - DagangNews.com








