BNM mungkin kurangkan OPR pada 3Q disebabkan ketidaktentuan pasaran global - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM mungkin kurangkan OPR pada 3Q disebabkan ketidaktentuan pasaran global - CIMB Securities

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan besar mempertimbangkan pemotongan 25 mata asas ke atas Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada suku ketiga tahun ini berikutan kebimbangan terhadap ketidaktentuan pasaran global, kata CIMB Securities.

 

Walaupun terdapat sokongan jangka pendek daripada sektor eksport, firma penyelidikan itu berkata, trajektori pertumbuhan secara keseluruhan kekal rapuh dengan kadar inflasi yang rendah pada purata 1.5 peratus tahun ke tahun dalam empat bulan pertama 2025.

 

“Unjuran pertumbuhan yang perlahan dan inflasi yang sederhana akan memberi ruang kepada BNM untuk menurunkan OPR kepada 2.75% pada suku ketiga,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Pengeluaran industri meningkat 2.7% pada April lalu, menurun daripada 3.2% bulan Mac dan jauh daripada unjuran 7.2% oleh CIMB Securities, disebabkan kejatuhan mendadak dalam pengeluaran sektor perlombongan, khususnya gas asli, selepas insiden letupan di Putra Heights.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, aktiviti pembuatan kekal positif, meningkat sebanyak 5.6% didorong permintaan eksport yang kukuh semasa penangguhan sementara tarif Amerika Syarikat (AS).

 

Katanya, penyumbang utama kepada pertumbuhan itu termasuk produk berasaskan minyak sawit, barangan elektrik dan elektronik serta perabot.

 

Walaupun pertumbuhan output industri pada April lemah, ia masih melebihi purata suku pertama sebanyak 2.3% yang menurut CIMB Securities boleh memberikan kesan positif yang berterusan ke suku kedua.

 

Firma penyelidikan itu memberi amaran awal terhadap kelemahan permintaan domestik dengan merujuk kepada perbelanjaan pengguna yang semakin perlahan dan aktiviti perkhidmatan yang lebih perlahan. 

 

Ia juga turut memberi amaran, kekuatan eksport baru-baru ini mungkin tidak dapat dikekalkan selepas tamatnya tempoh pengecualian tarif.

 

CIMB Securities mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2025 pada 4%, iaitu di bawah sasaran kerajaan yang berada dalam julat 4.5% hingga 5.5%. - DagangNews.com