KUALA LUMPUR 27 Mac - Bintai Kinden Corp Bhd memperoleh kontrak bernilai RM27.15 juta daripada Teladan Group Bhd untuk kerja-kerja pembinaan enam blok pejabat kedai di Bukit Intan, Seremban, Negeri Sembilan.
Bintai Kinden berkata, anak syarikat milik sepenuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd, memperoleh kontrak tersebut daripada anak syarikat Teladan, Pavilion Link Sdn Bhd.
Jelas syarikat itu, tempoh pembinaan bagi kontrak tersebut adalah selama 15 bulan.
"Pemilikan tapak ditetapkan pada 26 Mac 2025 dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada 9 April 2025. Tarikh siap dijangka pada 8 Julai 2026," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Tambahnya, kontrak berkenaan akan memberikan kesan positif terhadap pendapatan kumpulan untuk dua tahun kewangan yang akan datang.
"Tiada risiko besar yang dijangka bagi kontrak ini kecuali risiko perniagaan biasa,” jelasnya.
Pengarah Urusan merangkap CEO Bintai Kinden, Datuk Tay Chor Han berkata, kontrak itu mengukuhkan buku pesanan yang belum ditagih kepada RM132.91 juta, menguatkan keyakinan syarikat untuk mencapai sasaran pendapatan dan keuntungan yang diperlukan bagi kelayakan pemulihan daripada status PN17 di Bursa Malaysia.
Berikutan kelulusan pelan penyusunan semula oleh Bursa Malaysia pada 15 Januari 2025 dan kelulusan oleh pemegang saham pada 25 Februari 2025, Chor Han mendedahkan, syarikat kini giat mengejar peluang kontrak baharu melalui tender dalam sektor mekanikal dan elektrik serta pembinaan.
"Dengan inisiatif-inisiatif ini, Bintai Kinden kini berada dalam kedudukan strategik untuk mengukuhkan asas kewangan, mempelbagaikan aliran pendapatan dan mempercepat momentum pemulihan.
"Pengembangan yang berterusan dalam segmen pembinaan disokong oleh kejayaan projek baharu, mencerminkan komitmen syarikat untuk membina semula buku pesanan dan meningkatkan nilai pemegang saham," ujarnya. - DagangNews.com








