KUALA LUMPUR 1 Sept - Bintai Kinden Corporation Bhd (Bintai Kinden) melalui anak syarikat milik penuhnya, Optimal Property Management Sdn Bhd (OPM), telah mencapai rangka kerja penyelesaian dengan Universiti Islam Melaka Bhd (UIMB) berhubung perjanjian konsesi membabitkan kemudahan penginapan pelajar di Universiti Islam Melaka (UNIMEL).
Di bawah jadual pembayaran yang dicadangkan itu, UIMB akan membuat pembayaran berjumlah RM24.7 juta, terdiri daripada bayaran yuran konsesi bulanan sebanyak RM14.7 juta serta pemulihan tunggakan konsesi sebanyak RM10 juta secara suku tahunan.
Bintai Kinden berkata pembayaran bulanan itu merangkumi RM600,000 pada September 2026, RM700,000 sebulan bagi Oktober hingga Disember 2026, serta RM1 juta sebulan dari Januari hingga Disember 2027.
Sementara itu, tunggakan konsesi berjumlah RM10 juta akan dipulihkan menerusi lima bayaran suku tahunan sebanyak RM2 juta setiap satu, bagi tempoh September 2026 hingga September 2027.
Menurut kumpulan, struktur pembayaran berkenaan dijangka menyediakan aliran tunai bulanan yang lebih konsisten, di samping mempercepatkan pemulihan penghutang berkaitan konsesi berkenaan.
Lebih penting, UIMB menyasarkan penyelesaian akhir secara menyeluruh menjelang September 2027, dengan pilihan lanjutan sehingga Disember 2027.
Penyelesaian itu sama ada membabitkan pelangsaian penuh jumlah hutang tertunggak serta kemudahan pembiayaan MBSB OPM sebelum Perjanjian Konsesi ditamatkan secara rasmi, atau pengambilalihan penuh OPM daripada Bintai Kinden, tertakluk kepada kelulusan Lembaga UNIMEL.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Datuk Tay Chor Han berkata, cadangan pembayaran berstruktur itu merupakan langkah penting dalam menyelesaikan pendedahan kumpulan terhadap konsesi legasi tersebut.
“Penerimaan pembayaran berstruktur RM24.7 juta menyediakan aliran tunai bulanan yang segera dan boleh dijangka, selain mempercepatkan pemulihan penghutang lama kami.
“Lebih penting lagi, penetapan jadual yang jelas untuk menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan MBSB atau memudahkan pengambilalihan OPM menjelang akhir 2027 akan menyelesaikan secara kekal pendedahan konsesi legasi ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pencapaian tersebut turut membantu mengurangkan risiko terhadap kedudukan kunci kira-kira kumpulan, sekali gus membolehkan pengurusan memberi tumpuan kepada operasi teras.
Bintai Kinden kini akan menumpukan sumber kepada pengembangan buku tempahan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) serta pelaksanaan pembangunan bernilai tinggi. Ini termasuk projek bernilai RM296.5 juta di Ayer Keroh yang baru diperoleh kumpulan. - DagangNews.com








