Bilangan kapal tangki terhad di Asia, Orkim berpotensi raih manfaat kadar sewaan tinggi – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bilangan kapal tangki terhad di Asia, Orkim berpotensi raih manfaat kadar sewaan tinggi – RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 Mei – Isu bilangan kapal tangki petroleum yang amat terhad di Asia kini menjadi pemangkin utama pertumbuhan pendapatan Orkim Berhad dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


RHB Research berkata, situasi itu bukan sahaja meningkatkan penggunaan kapal, malah mengukuhkan kuasa tawar-menawar oleh pengendali kapal tempatan untuk mendapatkan kadar sewaan lebih tinggi.


Justeru, syarikat ini berada pada kedudukan strategik memanfaatkan keadaan pasaran semasa susulan asas pendapatan berulang yang kukuh dan hubungan jangka panjang dengan pengeluar minyak utama.


“Bekalan kapal tangki dan kimia yang semakin ketat di benua ini dijangka menyokong kadar sewaan lebih baik serta meningkatkan keterlihatan pendapatan Orkim sendiri,” katanya dalam nota analisis.


Firma penyelidikan itu berkata, aliran perdagangan petroleum serantau turut dilihat adalah kekal kukuh walaupun masih lagi berdepan ketidaktentuan geopolitik dan harga bahan api lebih tinggi.


Menurut RHB Research, peningkatan kebergantungan tinggi Filipina terhadap import produk petroleum selepas rasionalisasi penapisan turut mewujudkan lebih banyak peluang penghantaran intra-Asia.


Di samping itu ujarnya, faktor ketidakcekapan logistik di seluruh rantaian bekalan Asia pada waktu ini terus menyokong permintaan besar terhadap banyak kapal tangki dan kadar penggunaan kapal.


"Pada masa sama, pendapatan Orkim lebih defensif kerana disokong kontrak jangka panjang menerusi perjanjian secara pajakan bertempoh dan contract of affreightment (COA)," jelas firma berkenaan.

 

Orkim_DagangNews


Model kontrak tersebut tambah RHB Research, memberi kestabilan dari segi penggunaan kapal serta membolehkan syarikat itu mengambil peluang dalam pasaran semasa ketika situasi stok lebih ketat.


Selain itu kata firma penyelidikan berkenaan, pengembangan armada kapal kumpulan tersebut dijangka menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan pendapatan jangka sederhana syarikat secara konsisten.


Kapal-kapal baharu yang diperoleh Orkim ujarnya, sudah mempunyai peluang penempatan sedia ada khususnya bagi laluan berkaitan syarikat tertentu dan perluasan kontrak pelanggan semasa.


“Penambahan kapal jenis IMO2 yang lebih besar dan fleksibel juga membolehkan kumpulan ini dapat menembusi peluang kargo bernilai amat tinggi seperti dalam segmen kimia,” kata RHB Research.


Bagi FY25, kumpulan itu mencatatkan penyusutan hasil 2.1% susulan penjualan sebuah kapal serta kadar penggunaan armada lebih rendah akibat program pemasangan sistem rawatan air 'ballast'.


Keuntungan bersih teras Orkim tambah firma berkenaan, turut susut 13.3% tahun ke tahun (YoY) walaupun sebahagian diimbangi sumbangan daripada Orkim Citrine yang diperoleh pada tahun tersebut.


Dari segi kewangan jelas RHB Research, kumpulan berkenaan dilihat masih mengekalkan kedudukan kunci kira-kira yang sihat dengan jumlah pinjaman RM403 juta dan tunai RM179 juta setakat FY26.


"Syarikat ini turut didapati mampu menawarkan prospek dividen yang menarik dengan anggaran hasil pulangan antara kira-kira 4.4% hingga 5.2% berdasarkan nisbah pembayaran sekitar 60%," katanya.


Firma penyelidikan tersebut juga menilai saham Orkim berada pada julat nilai saksama dari RM1.04 hingga RM1.23 sesaham berdasarkan perolehan kasar antara sebanyak tujuh hingga lapan kali.


Bagaimanapun, antara risiko utama termasuk penurunan permintaan produk petroleum, kejatuhan kadar sewaan harian, ancaman lanun serta peningkatan kos penyelenggaraan kapal. - DagangNews.com