BIG CARiNG meterai kerjasama rentas negara dengan Great Tree Pharmacy, B&S Corporation | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BIG CARiNG meterai kerjasama rentas negara dengan Great Tree Pharmacy, B&S Corporation

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 2 DisBIG CARiNG Group, rangkaian farmasi terbesar di Malaysia, memeterai kerjasama strategik tiga hala bersama rantaian farmasi terbesar Taiwan, Great Tree Pharmacy dan jenama kesihatan Jepun berusia 111 tahun, B&S Corporation, sekali gus kerjasama rentas negara dalam ekosistem kesihatan Asia.

 

BIG CARiNG dalam kenyataan hari ini  berkata, kerjasama itu menyasarkan pengenalan produk kesihatan disokong bukti klinikal dan sains ke pasaran Asia dengan menggabungkan kekuatan rangkaian runcit farmasi tempatan, kepakaran pasaran Taiwan serta kecemerlangan penyelidikan Jepun.

 

Sebagai pencapaian awal kerjasama ini, ketiga-tiga rakan strategik memaklumkan LACTIS, jenama postbiotik Jepun berusia lebih satu abad, akan memasuki pasaran suplemen kesihatan Malaysia pada Disember 2025. 

 

Selepas itu, lebih banyak produk Jepun lain yang disokong kajian klinikal termasuk suplemen anti-penuaan dan kesihatan warga emas akan diperkenalkan secara berperingkat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BIG CARiNG Group, Lee Meng Chuan berkata kerjasama itu memperkukuh aspirasi kumpulan dalam memperluas akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti.

 

“Di BIG CARiNG Group, misi syarikat adalah untuk meluaskan akses kepada penyelesaian penjagaan kesihatan yang dipercayai dan berkualiti tinggi kepada setiap komuniti yang kami layani. Kami percaya penjagaan kesihatan pencegahan adalah masa depan kesejahteraan,” katanya.

 

Menurutnya, gabungan kepakaran Jepun lebih 100 tahun, penguasaan pasaran Taiwan lebih 30 tahun, serta rangkaian farmasi BIG CARiNG di Malaysia akan membina laluan bersama untuk membawa inovasi kesihatan berasaskan sains kepada pengguna di seluruh Asia.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif B&S Corporation, Yuko Murakoshi berkata syarikat itu bermula 111 tahun lalu sebagai pengeluar yogurt pertama Jepun dan telah menumpukan lebih 70 tahun kepada penyelidikan bakteria asid laktik.

 

“Antara pencapaian utama syarikat ialah ‘Ekstrak Bakteria Asid Laktik’ yang kini memasuki tahun ke-41. Berpandukan falsafah korporat kami untuk menyumbang kepada kesejahteraan lebih ramai orang, kami komited menyampaikan nilai sebenar produk kepada pengguna,” katanya.

 

Beliau berkata kerjasama dengan BIG CARiNG Group dan Great Tree Pharmacy membuka ruang untuk produk Jepun menembusi pasaran Asia dengan lebih meluas.

 

Sementara itu, Presiden Great Tree Pharmacy, Cheng Ming Long berkata rantaian farmasi terbesar Taiwan itu yang beroperasi lebih 30 tahun sentiasa komited meningkatkan tahap kesihatan pelanggan melalui pengenalan produk berkualiti tinggi.

 

Menurutnya, kerjasama baharu itu akan mempercepat kemasukan inovasi kesihatan Jepun ke Taiwan, Malaysia dan rantau Asia secara lebih tersusun.

 

Kerjasama antara BIG CARiNG Group dan Great Tree Pharmacy sebenarnya bermula sejak 2024 menerusi pengenalan produk yis merah berpaten global Ankascin568™, yang telah diterima baik pengguna.

 

Kemasukan B&S Corporation kini menaikkan tahap kerjasama itu daripada peringkat produk kepada pakatan strategik penuh rantaian bekalan dan runcit serantau. - DagangNews.com