BHIC lantik bekas Panglima TUDM, Tan Sri Roslan Saad sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BHIC lantik bekas Panglima TUDM, Tan Sri Roslan Saad sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif

Tan Sri Roslan Saad. Gambar/Bernama
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Dis – Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) melantik bekas Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Roslan Saad sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif syarikat berkuat kuasa serta-merta.

 

Pelantikan beliau ke jawatan itu mengisi kekosongan sejak penyandangnya, bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali, meletakkan jawatan pada Jun 2021.

 

"Roslan mengetuai TUDM selama dua tahun dari 2014 hingga 2016," menurut kenyataan syarikat di bursa, semalam.

 

BHIC dimiliki 72.4% oleh dana Angkatan Tentera, Lembaga Angkatan Tentera (LTAT) melalui Boustead Holdings Bhd.

 

Sejak beberapa tahun lalu, BHIC menghadapi cabaran besar susulan kegagalan projek kapal tempur pesisir (LCS) bersama Boustead dan LTAT.

 

Ketika itu, syarikat memiliki pegangan 20.77% dalam kontraktor LCS, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang gagal menguruskan projek tersebut, menyebabkan kelewatan dan lebihan kos. 

 

Boustead Holdings memiliki 68.85% dalam BNS, manakala LTAT memiliki 10.38%.

 

BNS kemudiannya dijual kepada Ocean Sunshine Bhd milik Kementerian Kewangan Inc. dan dinamakan semula sebagai Lumut Naval Shipyard sebagai sebahagian daripada pelan kerajaan untuk mengambil alih sepenuhnya kawalan projek yang bermasalah tersebut.

 

Baru-baru ini, pemegang saham BHIC meluluskan penjualan pegangan 51% dalam bekas subkontraktor LCS, Contravenes Advances Devices Sdn Bhd kepada firma pertahanan Jerman, Rheinmetall AG, dengan harga RM54 juta.

 

Saham BHIC ditutup 2.5 sen atau 6.1% lebih rendah pada 38.5 sen, dengan penilaian syarikat berjumlah RM217.25 juta. - DagangNews.com