Best Inc perluas operasi logistik di Kelantan pacu sektor e-dagang Pantai Timur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Best Inc perluas operasi logistik di Kelantan pacu sektor e-dagang Pantai Timur

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 16 Mei – BEST Inc. Malaysia memperluas operasi logistik di Kelantan susulan permintaan pengguna yang semakin tinggi, sejajar usaha memacu pembangunan e-dagang serantau dan menyokong agenda ekonomi digital nasional tahun ini.

 

Meskipun bermula perlahan berbanding negeri lain, pandemik COVID-19 mempecepatkan penerimaan sistem pembayaran digital dan pembelian dalam talian termasuk menerusi inisiatif dompet digital tempatan, Kelantan Pay yang diperkenalkan kerajaan negeri.

 

Syarikat tersebut memperkukuh kehadiran di pantai timur serta menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini semakin beralih ke platform digital.

 

Data Shopee menunjukkan peningkatan ketara permintaan dari Kelantan serta negeri jiran seperti Pahang dan Terengganu, khususnya bagi produk bayi seperti lampin pakai buang, pakaian bayi, dan tikar permainan yang mencerminkan keyakinan pengguna luar bandar terhadap pembelian secara dalam talian.

 

Syarikat itu kini beroperasi di beberapa kawasan utama seperti Kota Bharu, Jeli, Kuala Krai, Gua Musang, Machang, dan Bachok seperti menawarkan perkhidmatan kurier domestik dan ekspres, rumusan e-dagang menyeluruh yang merangkumi penyimpanan, penyusunan, dan penghantaran capaian akhir (last-mile delivery).

 

BEST Inc turut menawarkan kemudahan semakan bagi membolehkan pelanggan memantau status penghantaran secara langsung menerusi laman web dan aplikasi mudah alih.

 

Langkah itu dijangka memudahkan peniaga Kelantan mengakses pasaran lebih luas serta memperkukuh infrastruktur logistik tempatan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital di peringkat negeri dan nasional.- DagangNews.com