Bertam Alliance keluar daripada status PN17 selepas tujuh tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bertam Alliance keluar daripada status PN17 selepas tujuh tahun

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Jun - Syarikat pemaju hartanah, Bertam Alliance Bhd, keluar daripada status Nota Amalan (PN17) hari ini, selepas tujuh tahun menghadapi masalah kewangan.

 

Bursa Securities memaklumkan, Bertam Alliance berjaya memulihkan kedudukan kewangannya dan tidak lagi berada dalam senarai syarikat bermasalah seperti yang ditetapkan di bawah peraturan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

"Selepas mempertimbangkan semua fakta dan keadaan, Bursa Securities meluluskan permohonan Bertam Alliance untuk dikeluarkan lebih awal daripada status PN17," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Bertam Alliance dimasukkan ke dalam senarai PN17 pada 4 April 2018 selepas anak syarikat miliknya, Bertam Development Sdn Bhd, dikenakan perintah pembubaran syarikat. 

 

Pada waktu itu, anak syarikat tersebut memiliki lebih 50% daripada jumlah aset keseluruhan kumpulan.

 

Pada Februari 2023, syarikat membentangkan pelan pemulihan. 

 

Pelan berkenaan antara lain melibatkan terbitan 74.4 juta saham baharu kepada pemegang saham utama syarikat, Richard Ling Do Nyean dan Law Ngia Meng bernilai RM5.58 juta.

 

Selain itu, ia turut merangkumi pengurangan modal sebanyak RM90 juta, serta terbitan hak sehingga 161.27 juta saham dengan waran percuma.

 

Bertam Alliance juga mencatat keuntungan selama lima suku tahun berturut-turut. 

 

Bagi suku pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Mac, syarikat mencatat untung bersih RM219,000. 

 

Namun, jumlah itu lebih rendah berbanding RM744,000 pada tempoh sama tahun lalu, disebabkan penurunan hasil sebanyak 41% daripada RM9.54 juta kepada RM5.58 juta. - DagangNews.com