KUALA LUMPUR 13 Jun – Berjaya Land Bhd akan menjual keseluruhan 80% pegangan dalam sebuah syarikat yang membangunkan projek bercampur di Hanoi, Vietnam dengan nilai RM201.96 juta secara tunai.
Berjaya Land berkata, hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk membayar pinjaman dan digunakan sebagai modal kerja syarikat.
"Penjualan ini melibatkan 80% pegangan dalam syarikat Berjaya-Handico12 Co Ltd oleh anak syarikat milik penuh Berjaya Land, Berjaya Leisure (Cayman) Ltd, kepada dua syarikat dari Vietnam, iaitu Dong Thinh Phat Land JSC dan Green Hill Construction Investment JSC, " katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
BHandico12 sedang membangunkan projek pembangunan bercampur, Hanoi Garden City di kawasan seluas 31.56 hektar di Thach Ban, daerah Long Bien, Hanoi.
Berjaya Land menyatakan, harga jualan tersebut adalah 32.5% lebih tinggi berbanding nilai aset bersih BHandico12 setakat 31 Mac 2025.
BHandico12 bernilai sekitar RM196 juta dalam kumpulan Berjaya Land dan penjualan berkenaan dijangka memberi keuntungan sebanyak RM5.96 juta.
Urus niaga tersebut dijangka selesai pada separuh kedua tahun 2025. - DagangNews.com








