KUALA LUMPUR 20 Jun - Berjaya Food Bhd melupuskan 6.60 juta saham biasa atau 0.6% pegangan dalam 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (SEM) kepada Berjaya Corp Bhd pada harga RM13.2 juta, bersamaan RM2 sesaham, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Food (International) Sdn Bhd (BFI).
Susulan pelupusan itu, BFood melalui BFI kini memegang baki 0.25% kepentingan dalam SEM, bersamaan 2.77 juta saham.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, nilai tunai pelupusan ditetapkan berdasarkan harga pasaran semasa saham SEM ketika urus niaga dibuat.
"Hasil tunai daripada pelupusan ini akan digunakan sebagai modal kerja kumpulan BFood.
"Langkah ini membolehkan kumpulan merealisasikan sebahagian daripada pelaburannya dalam SEM," katanya dalam satu kenyataan.
Saham SEM yang dilupuskan sejak Mac 2023, mempunyai nilai buku kira-kira RM1.95 sesaham setakat 31 Mei 2025.- DagangNews.com








