KUALA LUMPUR 14 Nov – Belanjawan 2026 negeri Johor yang memfokuskan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negeri melalui pelaburan bernilai tinggi dan pengukuhan rantaian bekalan serantau.
Iskandar Investment Berhad (IIB) dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu dijangka meningkatkan daya saing Johor dan menjadikan negeri itu sebagai hab ekonomi yang lebih mampan di peringkat serantau.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, pihaknya akan memanfaatkan JS-SEZ, pembangunan Medini dan projek berimpak tinggi lain untuk menjadikan Johor sebagai hab pelaburan strategik, memperkukuh rantaian bekalan serantau, dan meningkatkan daya saing ekonomi negeri di peringkat global.
“Belanjawan 2026 negeri Johor menunjukkan visi inklusif dan berpandangan jauh yang selari dengan fokus strategik kami dalam Bakat, Infrastruktur, dan Kemudahan Kerajaan.
“Ia mencerminkan kesiapsiagaan Johor untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi kompetitif dan lestari dengan memastikan pertumbuhan adalah saksama dan berorientasikan masa depan.
“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan komited untuk menyokong keutamaan pembangunan negeri Johor mencapai aspirasi yang ditetapkan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Johor bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM2.546 bilion, lebihan RM4.45 juta
Belanjawan 2026 yang dibentangkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menekankan enam tonggak utama iaitu Kebajikan Awam, Daya Tahan Ekonomi, Pendidikan, Penjagaan Kesihatan, Pembangunan Infrastruktur dan Belia Johor.
Belanjawan tersebut meramalkan hasil sebanyak RM2.551 bilion dan perbelanjaan RM2.546 bilion dengan anggaran lebihan RM4.457 juta.
Medini terus berkembang sebagai pusat ekonomi penting di Iskandar Malaysia dengan IIB sedang membangunkan kawasan ini dengan beberapa projek utama termasuk Tech Medini sebagai pusat teknologi dan inovasi digital, pembangunan kawasan perniagaan yang mesra alam dan rendah karbon, serta pembangunan bandar yang menggabungkan rumah, pejabat, kemudahan awam dan rekreasi.
Projek Medini International Conference City (MICC) dijangka menarik pelaburan dan interaksi antarabangsa, selaras dengan fokus bajet negeri untuk membangunkan Johor sebagai hab global.
Selain itu, beliau berkata, Belanjawan 2026 Johor turut menekankan pembangunan bakat melalui EduCity, Johor Talent Development Council (JTDC), PRO MAHIR Skills Development Programme dan K-Youth Development Programme.
“Ini menyokong usaha IIB dalam membina tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa depan di sektor teknologi, ekonomi hijau dan perkhidmatan digital.
“Sokongan terhadap sukan dan budaya turut menjadi fokus, termasuk pembangunan EduCity Sports Complex, penganjuran pertandingan antarabangsa seperti Badminton World Federation (BWF) dan MPL Malaysia Esports Championship, serta festival budaya seperti Xperia Merdeka Festival dan Festival Zapin Jauhar.
“Kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar menjadi agenda utama dengan pelaksanaan pembangunan karbon sifar bersih di Medini, penyelesaian bandar hijau dan rendah karbon, serta penglibatan komuniti dalam program seperti Johor Bersih,” katanya. - DagangNews.com








