KUALA LUMPUR 12 Sept — Usaha meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan pembeli rumah pertama menerusi pemberian insentif dijangka menjadi tumpuan Belanjawan 2026, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, insentif seperti pengecualian duti setem dan pelaksanaan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) bakal diperkenalkan bagi menyokong golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah pertama.
Katany. model pasaran perumahan baharu selaras dengan reformasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) juga mungkin diperkenalkan, termasuk konsep bina dan jual serta penambahbaikan kepada skim sewa untuk milik.
“Model bina dan jual bertujuan mengurangkan risiko kepada pembeli dan menurunkan jumlah projek terbengkalai.
"Namun, pendekatan ini mungkin memberikan cabaran kewangan kepada pemaju yang mempunyai aliran tunai terhad atau nisbah hutang tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Tambah MBSB Research model ini mewajibkan pemaju menanggung kos pembinaan sepenuhnya di peringkat awal, yang boleh meningkatkan kos dan secara tidak langsung menjejaskan penawaran rumah baharu di pasaran.
Firma itu turut melaporkan bahawa jualan hartanah baharu bagi separuh pertama tahun 2025 (1H2025) adalah selari dengan jangkaan, dengan kebanyakan pemaju mengekalkan sasaran jualan mereka dan menjangkakan momentum lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini (2H2025) susulan lebih banyak pelancaran projek baharu.
Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), lebihan bekalan kediaman meningkat untuk suku ketiga berturut-turut kepada 26,911 unit pada 2Q2025 — paras tertinggi sejak 2023 — didorong oleh lonjakan sebanyak 1,990 unit di Kelantan.
Walaupun begitu, MBSB Research menjangka sektor hartanah kekal stabil, disokong oleh minat pembelian yang sihat.
“Walaupun lebihan bekalan kediaman meningkat, kami percaya situasi di negeri-negeri utama masih terkawal, dan ini seharusnya mengekalkan sentimen pasaran yang positif,” tambahnya.
Firma penyelidikan menamakan Mah Sing Group Bhd, Matrix Concepts Holdings Bhd dan UOA Development Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor hartanah, dengan penarafan BELI masing-masing dan harga sasaran sebanyak RM1.51, RM1.65 dan RM2.04.
Firma itu kekal positif terhadap Mah Sing, memandangkan segmen pembangunan hartanah syarikat terus disokong oleh jualan kukuh projek Siri M, manakala penyertaan ke pasaran hartanah mewah dijangka merangsang jualan hartanah pada masa depan.
Bagi Matrix Concepts, potensi pendapatan jangka panjang dijangka dipacu oleh pembangunan MVV City, yang akan menjadi pemangkin utama selepas tahun kewangan 2026 (FY26). Selain itu, projek perumahan bertanah di Negeri Sembilan menunjukkan permintaan yang berdaya tahan dan menyokong prospek jualan syarikat.
Sementara itu, UOA Development dijangka meraih manfaat daripada pelancaran projek sulung di Johor, yang bakal menjadi pemacu jualan baharu selepas FY26. Firma turut menyifatkan UOA Development sebagai pilihan menarik disebabkan oleh hasil dividen yang tinggi pada kadar 5.7%, serta kedudukan kewangan yang kukuh dengan kedudukan tunai bersih. - DagangNews.com








