KUALA LUMPUR 6 Mac – Gas Malaysia Bhd mengumumkan pelantikan Azli Mohamed sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu syarikat gas semula jadi itu berkuat kuasa 1 April 2026.
Beliau menggantikan Ahmad Hashimi Abdul Manap, yang telah memimpin Gas Malaysia selama lebih daripada satu dekad.
Ahmad Hashimi akan bersara pada akhir Mac.
Gas Malaysia dalam satu kenyatan berkata Azli membawa lebih dua dekad pengalaman dalam kepimpinan kanan merentasi sektor tenaga, penerbangan, dan industri.
“Sebelum ini, beliau adalah Pengarah Urusan Siemens Energy Malaysia. Selain itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Transformasi di Capital A Bhd, Ketua Pegawai Strategi di Malaysia Airports Holdings Bhd, CEO di GE Malaysia dan Ketua Pegawai Usaha Kelestarian di AEON Group Malaysia.
“Beliau mempunyai rekod menguruskan program transformasi dan pertumbuhan berskala besar, memperkukuh prestasi komersial dan disiplin operasi dalam persekitaran yang dikawal ketat dan kompetitif,” menurut kenyataan itu.
Gas Malaysia berkata kemahiran Azli akan menyokong syarikat dalam fasa seterusnya projek GM32, dengan fokus kepada pelaksanaan yang disiplin, penjanaan hasil, dan pertumbuhan lestari.
Ahmad Hashimi, 61 tahun, telah bersama Gas Malaysia sejak penubuhannya pada 1992 dan memegang pelbagai jawatan kanan sebelum dilantik sebagai CEO pada 12 Februari 2015.
Beliau juga memiliki 21,500 saham dalam syarikat dan berkhidmat sebagai pengerusi beberapa anak syarikat dan usaha sama Gas Malaysia. - DagangNews.com








