Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Boustead Heavy Industries | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Boustead Heavy Industries

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 JanBoustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif, Jeneral (B) Tan Sri Zamrose Mohd Zain.


Kumpulan tersebut memaklumkan Bursa Malaysia, pengunduran ini turut melibatkan kapasiti beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Risiko, yang berkuat kuasa secara serentak pada 12 Januari 2026.


Susulan perubahan tersebut katanya, komposisi Jawatankuasa Risiko BHIC kini terdiri daripada seramai empat anggota, antaranya Laksamana Madya (B) Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman. 


"Turut serta ialah Kamarul Baharin Tengku Zainal Abidin, Datuk Mearia @ Massahariah Hamzah, dan Ahmad Farouk Mohamed, dengan kesemuanya ialah Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas," katanya


Zamrose, 64, graduan Ijazah Sarjana Sastera Analisis Data dan Keselamatan, di Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menyandang Panglima Tentera Darat ke-28 dari 11 Jun 2020 hingga 22 Mac 2023.


BHIC turut memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang syarikat berkenaan sedang dalam proses mengenal pasti calon pengganti bagi mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Risiko tersebut dengan segera.


Makluman kekosongan berkenaan jelas kumpulan tersebut dilaksanakan selaras dengan keperluan pendedahan di bawah Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia. - DagangNews.com