Bekalan timah global yang terhad, operasi lebih efisien dijangka lonjakkan keuntungan Malaysia Smelting hingga FY28 - Apex Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekalan timah global yang terhad, operasi lebih efisien dijangka lonjakkan keuntungan Malaysia Smelting hingga FY28 - Apex Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac – Malaysia Smelting Corporation Bhd dijangka mendapat manfaat daripada harga timah yang tinggi dan berpotensi meningkatkan keuntungan kerana bekalan timah dunia masih terhad ketika ini, kata Apex Securities.

 

Menurut Apex Securities, gangguan bekalan dijangka berterusan disebabkan sekatan pengeluaran di Indonesia, risiko geopolitik yang tinggi di Republik Demokratik Congo dan pemulihan perlahan di Myanmar.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menaikkan anggaran harga timah kepada AS$36,100/AS$38,300/AS$40,700 setiap tan metrik bagi FY2026, FY2027 dan FY2028 berbanding AS$35,100/AS$37,200/AS$39,400 sebelum ini.

 

Susulan kenaikan harga ini, Apex Securities juga meningkatkan unjuran keuntungan MSC dengan keuntungan bersih teras dijangka meningkat kepada RM153.1 juta bagi FY2026, RM195.2 juta bagi FY2027, dan RM269.1 juta bagi FY2028.

 

Syarikat sedang membina loji pemprosesan baharu untuk mengekstrak timah daripada sisa pasir lombong. 

 

Loji ini dijangka mula beroperasi pada April 2026 dan meningkatkan pengeluaran harian daripada 11 tan kepada 14 tan.MSC juga sedang menutup loji peleburan lama di Butterworth. 

 

Menurut, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama  MSC Lam Hoi Khong, penutupan loji lama dan kecekapan yang lebih baik di Pulau Indah akan meningkatkan keuntungan bersih syarikat.

 

Bagi FY2025, MSC mencatat keuntungan bersih RM81.97 juta, meningkat kira-kira 3%, manakala pendapatan naik 4% kepada RM1.76 bilion. Peningkatan ini disokong oleh jualan antara produk dan produk sampingan yang mengandungi timah.

 

Syarikat itu mengumumkan dividen akhir sebanyak empat sen sesaham, menjadikan jumlah dividen FY2025 sebanyak lapan sen sesaham, mewakili 82% daripada keuntungan bersih.

 

Pada akhir dagangan Jumaat, MSC ditutup pada RM1.90 sesaham dengan permodalan pasaran RM1.60 bilion. Tiga firma broker memberi cadangan Beli dan satu cadangan Pegang manakala harga sasaran purata ialah RM2.12.

 

Apex Securities pula mengekalkan cadangan Beli dengan menaikkan harga sasaran kepada RM2.37 berikutan manfaat yang bakal dinikmati MSC ketika ini. - DagangNews.com