KUALA LUMPUR 30 Jun – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merupakan bank pertama di yang menggunakan Mastercard Move bagi pemindahan tunai global dalam dan luar negara melalui rangkaian Mastercard.
Perkhidmatan itu akan ditawarkan pada suku ketiga 2025 menerusi eBanker Pro, platform pengurusan tunai, dan akaun Bank Islam khusus untuk pelanggan korporat.
Bank Islam dan Mastercard menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Rentas Sempadan semasa Persidangan Kelestarian Bank Islam.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam Institusi Perbankan, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir berkata, penambahbaikan itu membolehkan pelanggan menyelesaikan Pemindahan Telegrafik Luar Negara (FOTT) dalam tempoh 15 minit selepas penyerahan.
"Prestasi ini didorong transaksi lebih pantas, kadar tukaran asing yang kompetitif, keselamatan dipertingkat serta rumusan khusus hasil kepakaran global Mastercard dalam teknologi pembayaran.
"Bank Islam komited menyediakan rumusan pembayaran antarabangsa yang lancar bagi menyokong pertumbuhan, ketangkasan dan daya saing pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Februari 2025, Bank Islam telah memproses 3,919 transaksi rentas sempadan bernilai lebih RM169 juta, dan dengan penerapan Mastercard Move, Bank menjangkakan peningkatan urus niaga sehingga 20%.
Mastercard Move menawarkan pembiayaan dengan jejak boleh dijejaki, anggaran masa penghantaran serta pilihan pembayaran fleksibel sama ada ke akaun bank, dompet digital, kad atau secara tunai, bergantung kepada pasaran.
Portfolio itu termasuk lebih 200 negara dan menyokong lebih 150 mata wang.
Sementara itu, Pengurus Negara Mastercard Malaysia dan Brunei, Beena Pothen berkata, pelaksanaan Mastercard Move oleh Bank Islam merupakan pencapaian penting dalam mendorong ekonomi digital dan inklusif negara.
"Kerjasama ini menyokong Ekonomi MADANI dan rangka tindakan MyDigital Malaysia dengan memastikan pergerakan dana yang cekap serta memperkukuh peranan Malaysia dalam ekonomi serantau dan global," katanya.- DagangNews.com








