KUALA LUMPUR 13 Feb - Bank Islam Malaysia Bhd, Mastercard bekerjasama bagi melancarkan Kad Debit-i Mastercard Bank Islam, menawarkan faedah, ganjaran eksklusif dan alternatif pertumbuhan kewangan patuhi syariah kepada pelanggan.
Bank Islam berkata, kad patuh syariah ini membolehkan pelanggan memperoleh pulangan berdasarkan keuntungan dikongsi daripada pelaburan bank dan bukannya menerima faedah tetap.
"Struktur ini memastikan pertumbuhan kewangan beretika sambil menawarkan pelanggan cara bermakna untuk melabur yang sejajar dengan aspek rohani.
"Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama Bank Islam dan Mastercard untuk menyediakan produk kewangan yang mematuhi kepercayaan disesuaikan dengan keperluan rakyat Malaysia yang semakin berkembang," katanya dalm satu kenyataan media, hari ini.
Kad Debit-i Mastercard Bank Islam yang mematuhi syariah itu juga menawarkan pembayaran dalam talian dengan keselamatan teguh dan boleh diguna pakai di preingkat global dengan lebih 100 juta lokasi.
Untuk memberi impak positif kepada masyarakat, Bank Islam juga akan mendermakan RM2 kepada Rumah Sadaqa untuk setiap Kad Debit-i Mastercard Bank Islam yang dikeluarkan mulai 13 Februari 2025.
Sadaqa House, platform sosial yang diiktiraf di peringkat global, menggerakkan dana dermawan daripada sadaqah , wakaf, dan inisiatif zakat bagi menyokong sistem ekonomi Islam.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan, Perbankan Runcit Kumpulan Bank Islam,Mizan Masram berkata, Program Al-Awfar merangkumi visi Bank Islam untuk memperkasakan pelanggan bagi mencapai aspirasi mereka sambil mempromosikan keterangkuman kewangan.
"Dengan kerjasama dengan Mastercard, kami dapat menawarkan penyelesaian inovatif yang menggabungkan ganjaran dengan kemudahan.
"Pengenalan Kad Debit-i Mastercard Bank Islam adalah satu lagi langkah ke hadapan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami, pengalaman pembayaran yang selamat dan menyumbang kepada inisiatif kemampanan,” katanya.
Pengurus Negara, Malaysia dan Brunei, Mastercard, Beena Pothen berkata, pelancaran Kad Debit-i Mastercard Bank Islam mencerminkan komitmen kumpulan dalam menyediakan rumusan pembayaran patuh Syariah bagi meningkatkan pengalaman perbankan untuk rakyat Malaysia.
"Ia juga menunjukkan visi bersama dengan Bank Islam untuk mencipta bersama produk perbankan bermakna yang selaras dengan nilai pengguna dan keperluan untuk memperkukuh matlamat kolektif bagi memacu inovasi dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat,” katanya.
Bagi meraikan pelancaran itu, pemegang Kad Debit-i Bank Islam Mastercard dan akaun pelaburan Al-Awfar boleh menikmati pulangan tunai 1% untuk pembelian produk kesihatan sehingga 31 Ogos 2025 dan menyertai cabutan bertuah di pusat beli-belah MyTown, Cheras.
Di samping mendapat akses kepada hadiah Al-Awfar bernilai RM18 juta setahun, termasuk wang tunai RM1 juta, kenderaan mewah seperti BMW 320i M Sport dan Honda HRV, motosikal Harley Davidson Road Glide Special, jongkong emas 1kg dan hadiah wang tunai tambahan.
Bank Islam kata, Program Al-Awfar bukan sekadar akaun pelaburan, ia dibina di atas konsep Mudarabah (perkongsian untung).
Semasa pelancaran, pelanggan baharu yang membuka akaun Al-Awfar, mendepositkan sekurang-kurangnya RM1,000 dana baharu, dan memohon Kad Debit-i Mastercard Bank Islam akan menerima hadiah misteri. - DagangNews.com








