Axis-REIT beli kompleks industri berharga RM38 juta di Shah Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axis-REIT beli kompleks industri berharga RM38 juta di Shah Alam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Mei – Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) melalui pemegang amanahnya, RHB Trustees Berhad memeterai perjanjian jual beli dengan Rubicon Assets Sdn Bhd bagi memperoleh sebuah kompleks industri di Shah Alam, Selangor pada harga RM38 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Axis-REIT berkata hartanah tersebut merupakan sebuah kompleks industri yang disewakan sepenuhnya dan terletak di atas tanah industri seluas 3.03 ekar.

 

“Ia terdiri daripada kilang berkembar satu tingkat yang diintegrasikan dengan blok pejabat dua tingkat serta blok gudang empat tingkat bersama struktur sampingan.

 

“Jumlah keluasan boleh disewa bersih hartanah berkenaan adalah kira-kira 120,177 kaki persegi. Hartanah tersebut kini telah pun disewakan sepenuhnya dan akan terus menjana pendapatan sewaan selepas selesai pengambilalihan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pendapatan sewaan bulanan daripada aset tersebut dianggarkan sebanyak RM210,476.75. Cadangan pengambilalihan ini akan dibiayai melalui kemudahan bank sedia ada yang dimiliki oleh Axis-REIT.

 

Selepas urus niaga ini, nisbah pembiayaan Axis-REIT dijangka meningkat kepada kira-kira 32.84 peratus daripada jumlah aset diaudit setakat 31 Disember 2025.

 

Penyempurnaan pengambilalihan ini disasarkan berlaku pada separuh kedua tahun 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May berkata pengambilalihan ini mengukuhkan lagi kedudukan Axis-REIT di Shah Alam sebagai salah satu koridor industri utama di Lembah Klang.

 

Beliau berkata lokasi hartanah itu yang mempunyai akses ke Lebuhraya Persekutuan dan NKVE memberikan kelebihan dari segi kesalinghubungan dan kecekapan operasi kepada penyewa.

 

Menurutnya lagi, Shah Alam kekal sebagai lokasi pilihan sektor industri dan logistik kerana infrastruktur matang serta ekosistem perniagaan yang kukuh.

 

Axis-REIT ketika ini memiliki portfolio sebanyak 70 hartanah dengan kadar penghunian sekitar 94 peratus dan jumlah nilai aset RM5.45 bilion setakat 31 Mac 2026. - DagangNews.com