Axis-REIT beli hartanah industri berharga RM800 juta di Seberang Perai, Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axis-REIT beli hartanah industri berharga RM800 juta di Seberang Perai, Pulau Pinang

Dari kiri, Stephen Tew (Timbalan Pengerusi ARMB), Leong Kit May (CEO/Pengarah Eksekutif ARMB), Dato’ Lim Hong Thye (Pengarah Urusan Kumpulan – AJRB) dan Dato’ Lawrence Lim
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Nov - Axis REIT Managers Berhad (ARMB), pengurus kepada Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT), mengumumkan cadangan pengambilalihan hartanah industri pegangan bebas di Seberang Perai, Pulau Pinang bernilai RM800 juta tunai, menjadikannya pengambilalihan terbesar dalam sejarah syarikat.

 

Menurut ARMB, pembelian tersebut akan dibuat tertakluk kepada pemuktamadan Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dengan Ann Joo Steel Berhad (AJSB), anak syarikat milik penuh Ann Joo Resources Berhad (AJRB).

 

Selepas pengambilalihan disempurnakan, AJSB akan menyewa semula hartanah berkenaan daripada Axis-REIT untuk tempoh lapan tahun, dengan kadar sewa bulanan permulaan sebanyak RM4.16 juta.

 

Kadar sewa itu akan disemak semula berdasarkan penyerahan ruang pada akhir tahun kelima, keenam dan ketujuh seperti yang akan ditetapkan dalam SPA.

 

Hartanah tersebut meliputi kawasan tanah pegangan bebas seluas kira-kira 135.53 ekar yang terletak dalam Kawasan Perindustrian Prai, antara kawasan industri paling matang dan strategik di Pulau Pinang. Ia mempunyai akses yang baik ke Lebuhraya Utara–Selatan, Pelabuhan Pulau Pinang serta rangkaian kereta api, menjadikannya hab logistik dan industri yang ideal bagi penyewa jangka panjang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif ARMB, Leong Kit May menyifatkan pengambilalihan ini sebagai satu pencapaian penting bagi Axis-REIT.

 

“Pengambilalihan ini menandakan satu detik penting bagi Axis-REIT dan memperkukuh strategi kami untuk memperoleh aset strategik di lokasi utama,” kata Leong.

 

“Kawasan Perindustrian Prai merupakan satu daripada hab industri paling mapan di Pulau Pinang dengan pelbagai aktiviti ekonomi. Kedudukannya yang strategik dengan akses baik ke pelabuhan, sistem kereta api dan lebuh raya utama menjadikan ia tambahan yang kukuh kepada portfolio kami serta memperluas kehadiran Axis-REIT di Pulau Pinang.”

 

Langkah ini turut memperkukuh kedudukan Axis-REIT sebagai salah satu amanah pelaburan hartanah (REIT) berfokuskan industri terkemuka di Malaysia, sambil memperluas portfolio asetnya di koridor logistik dan pembuatan utama negara.

 

Majlis menandatangani perjanjian bagi menandakan cadangan pengambilalihan tersebut turut dihadiri oleh Stephen Tew (Timbalan Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif ARMB), Leong Kit May (Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif ARMB), Dato’ Lim Hong Thye (Pengarah Urusan Kumpulan AJRB) dan Dato’ Lawrence Lim (Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan AJRB).

 

Sebaik selesai, transaksi ini dijangka meningkatkan lagi asas aset Axis-REIT di wilayah utara dan menyediakan aliran pendapatan sewa yang stabil serta mampan, disokong oleh penyewa kukuh dan berwibawa. - DagangNews.com