KUALA LUMPUR 14 Mac - Avangaad Bhd yang baru sahaja keluar daripada status Notis Amalan 17 (PN17), merancang untuk membeli syarikat perunding marin, Bumi Jaya Shipcare Sdn Bhd (BJSSB) serta dua kapal tunda dengan nilai RM49 juta.
Syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai EA Technique (M) Bhd itu, berjaya keluar daripada status berkenaan pada 20 Februari 2025.
Menurut Avangaad, ia telah menandatangani perjanjian awal dengan empat pihak, namun masih memerlukan terma akhir, pemeriksaan teliti dan penilaian bebas sebelum proses pengambilalihan boleh diteruskan.
Penjual bagi perjanjian berkenaan adalah Johor Ship Care Sdn Bhd (JSCSB), Impresif Rezeki Sdn Bhd (IRSB), Ben Bakar Abdullah dan K Sugumaran Kolanthai.
Perjanjian tersebut bergantung kepada penjualan 49% pegangan syarikat Peninsular Mooring Sdn Bhd (PMSB) oleh penjual serta mendapatkan lanjutan kontrak perkhidmatan luar pesisir BJSSB selama setahun.
Avangaad berkata, pengambilalihan yang dicadangkan itu akan memperluaskan armada kapal syarikat dan meningkatkan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan maritim bernilai lebih tinggi.
"Dengan fokus untuk mendapatkan kontrak jangka panjang tambahan, syarikat berhasrat mengembangkan operasi, memperkukuh keupayaan perkhidmatan dan memacu pertumbuhan yang berdaya tahan bagi memastikan kestabilan kewangan jangka panjang," katanya dalam satu makluman di Bursa Malaysia.
Syarikat menjangkakan pengambilalihan tersebut akan selesai pada suku ketiga tahun ini.
Avangaad mencatatkan lonjakan lebih enam kali ganda dalam keuntungan bersih sebanyak RM154.3 juta untuk tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2024, susulan pemulihan daripada skim pemiutang dan perbelanjaan pelan pemulihan PN17.
Pendapatan teras kumpulan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM25.2 juta. - DagangNews.com








