Avaland beli tanah seluas 1.29 hektar berharga RM149 juta di Kuala Lumpur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Avaland beli tanah seluas 1.29 hektar berharga RM149 juta di Kuala Lumpur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - Pemaju hartanah Avaland Berhad menerusi Solid Interest Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan Tanahku Holdings Sdn Bhd bagi memperoleh sembilan tanah pegangan bebas seluas 1.29 hektar di Jalan Putra, Kuala Lumpur, dengan jumlah keseluruhan RM148.8 juta.

 

Kumpulan itu berkata, tanah tersebut terletak secara strategik dalam kawasan kejiranan yang sudah maju dan dikelilingi oleh pembangunan bertingkat tinggi yang terkenal serta mercu tanda utama termasuk Sunway Putra Mall, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Pasar Jalan Chow Kit, Menara Berkembar Petronas, Bukit Bintang, Menara Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, dan Taman Tasik Titiwangsa.

 

Katanya, tanah itu menawarkan aksesibiliti yang sangat baik melalui jalan-jalan utama seperti Jalan Tun Razak dan Jalan Kuching serta mempunyai perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, terletak kira-kira 100 meter dari Stesen LRT PWTC dan 550 meter dari Stesen Monorel Chow Kit.

 

Ini menjadikan tanah tersebut sesuai untuk pembangunan berorientasikan transit yang menghubungkan ke Greater Kuala Lumpur.

 

Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan, Avaland bercadang melaksanakan pembangunan komersial bercampur di atas tanah tersebut, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sekitar RM900 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Apollo Bello Tanco berkata, pengambilalihan itu sejajar dengan objektif strategik jangka panjang bagi mengukuhkan dan mengembangkan kehadiran kumpulan di Lembah Klang.

 

Beliau berkata, ia akan memperkukuh kehadirannya di Kuala Lumpur dengan melengkapi pembangunan sedia ada di Seputeh dan Taman Desa, sambil memberikan peluang untuk memperkenalkan penawaran produk berfokuskan pelaburan di lokasi bandar utama.

 

"Pengambilalihan ini akan mengukuhkan kedudukan jenama kumpulan sebagai pemaju hartanah berkualiti tinggi di Lembah Klang.

 

"Digabungkan dengan pembelian tanah baru-baru ini di Seksyen 13, Petaling Jaya, jumlah GDV bagi kedua-dua pembangunan yang dicadangkan dijangka melebihi RM1.2 bilion. Projek-projek ini akan menyumbang secara signifikan kepada fasa seterusnya dalam trajektori pendapatan kumpulan.

 

"Kami akan terus membina momentum ini dengan terus memberi tumpuan kepada usaha memperoleh tanah strategik secara aktif di pusat-pusat pertumbuhan utama di seluruh Lembah Klang bagi memacu pertumbuhan yang mampan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pengambilalihan itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.- DagangNews.com