Avaland beli tanah 0.8 hektar berharga RM49 juta di Petaling Jaya bagi pembangunan komersial | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Avaland beli tanah 0.8 hektar berharga RM49 juta di Petaling Jaya bagi pembangunan komersial

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pemaju hartanah, Avaland Berhad menerusi Leisure Event Sdn Bhd memeterai perjanjian dengan Comit Communication Technologies Sdn Bhd bagi membeli tanah seluas 0.8 hektar berharga RM49 juta di Seksyen 13, Petaling Jaya bagi pembangunan komersial dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM320 juta.

 

Kumpulan itu berkata, tanah yang terletak di kawasan strategik di kejiranan matang dan mewah selain memiliki keterhubugan yang sangat baik serta berhampiran dengan kemudahan awam serta infrastruktur yang sudah wujud sejak sekian lama.

 

Berhampiran dengan Plaza 33, tanah itu terletak hanya 3km dari Universiti Malaya (UM) dan 16km dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, dengan akses mudah ke destinasi utama seperti Mid Valley, Bangsar South, Stesen LRT Asia Jaya, dan Stesen MRT Phileo Damansara, serta lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Damansara-Puchong dan Lebuhraya Persekutuan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Apollo Bello Tanco berkata, pengambilalihan tanah itu mewakili langkah strategik dalam mengembangkan kehadiran kumpulan di Petaling Jaya dan berdasarkan kepada pembangunan terdahulu di kawasan Lembah Klang, pihaknya yakin terhadap prospek lokasi itu.

 

Beliau berkata, daya tarikan kawasan perbandaran matang, infrastruktur cemerlang serta jarak dekat dengan pusat bandar utama adalah selari dengan strategi jangka panjang mereka bagi melaksanakan pembangunan berkualiti tinggi.

 

"Penambahan ini kepada bank tanah kami akan terus mengukuhkan aliran pembangunan kami dan menyumbang secara positif kepada pendapatan jangka panjang kumpulan.

 

"Sambil kami terus membina momentum pertumbuhan, kami tetap komited untuk secara aktif meneroka peluang perolehan tanah strategik yang menyokong pertumbuhan mampan dan berdaya tambah pada masa hadapan," katanya.

 

Pengambilalihan itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank. - DagangNews.com